Individu cuba dekati Sultan Nazrin ketika sambutan Hari Kebangsaan ditahan - Utusan Malaysia

Individu cuba dekati Sultan Nazrin ketika sambutan Hari Kebangsaan ditahan

ANGGOTA pasukan keselamatan menahan seorang wanita yang cuba menghampiri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri Perak di sini hari ini kecoh apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah cuba didekati oleh seorang individu yang tidak dikenali.

Kejadian pada pukul 8.20 pagi tersebut berlaku apabila seorang wanita berlari ke arah  Sultan Nazrin di atas pentas utama sewaktu nyanyian lagu negeri Perak sedang dimainkan.

Wanita berkenaan berjaya ditahan oleh anggota pasukan keselamatan.

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak 2025 di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke acara tersebut yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab berdekatan Stesen Keretapi Ipoh dan Dewan Bandaran Ipoh.

Kejadian itu tidak menjejaskan sambutan yang dihadiri lebih 30,000 pengunjung seawal pukul 7 pagi, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyaksikan perbarisan dan perarakan.

Sementara itu Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin yang mengesahkan perkara berkata, suspek telah masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Nazrin sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang sedang bertugas.

“Suspek merupakan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun telah ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Hasil semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah. pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar,” katanya.

Beliau juga berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN