Lukisan alam berusia puluhan juta tahun

Lukisan alam berusia puluhan juta tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagaikan sebuah kanvas seni gergasi yang terbentang di tengah lautan, fenomena geologi alam ini terbentuk secara semula jadi sejak puluhan juta tahun lalu.

Itu keunikan formasi batu sawar di Pulau Rusukan Besar, Labuan yang mampu memukau pandangan sesiapa sahaja, bahkan mengundang kekaguman terhadap kehebatan ciptaan Allah.

Fenomena geologi itu hanya dapat dilihat ketika air surut apabila ia mendedahkan permukaan batu rata seperti lantai jubin semula jadi yang sempurna susunannya.

Lokasi tepatnya terletak kira-kira 100 meter dari jeti pendaratan dan perlu menelusuri gigi-gigi pantai terlebih dahulu.

Menariknya, ketika air surut, pengunjung boleh berjalan kaki menyusuri keseluruhan kawasan batu sawar ini yang mengambil masa antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada keadaan pasang surut.

Jika bernasib baik anda boleh melihat anak ikan yu, tapak sulaiman, ketam kecil dan rumpai laut ‘menari-nari’ di celah-celah hamparan batu itu.

Ini antara pengalaman saya yang berkesempatan menjejakkan kaki ke pulau unik itu baru-baru ini.

Ia merupakan kunjungan kedua namun, seperti tidak lengkap rasanya jika tidak mengabadikan pengalaman menjejaki keunikan batu sawar itu dalam artikel ini.

Jurupandu kami, Miss Su adalah individu yang membawa rombongan kami ke lokasi itu dan dialah yang menjawab segala pertanyaan kami.

Menurutnya, hanya dua lokasi unik geologi batu sawar yang masih wujud dan boleh dilihat di dunia iaitu Pulau Rusukan Besar dan Eaglehawk Neck, Tasmania, Australia.

“Struktur batu itu berbentuk segi empat atau petak-petak yang kelihatan seolah-olah disusun dengan tangan manusia sedangkan ia terbentuk secara semula jadi,” katanya.

Menurut pakar geologi, batu sawar ini terbentuk hasil hakisan air laut yang berterusan, bersama tekanan tektonik dan rekahan mendatar dalam batuan granit sejak jutaan tahun lalu.

Proses semula jadi ini menghasilkan turapan bersegi iaitu satu bentuk yang jarang ditemui di dunia, menjadikan Pulau Rusukan Besar sebagai antara destinasi pelancongan geopelancongan paling unik di Malaysia.

Pulau Rusukan Besar terletak kira-kira lapan kilometer di selatan tanah besar Labuan dan ia berkeluasan kira-kira 0.12 kilometer persegi.

Pulau ini juga merupakan sebahagian daripada Taman Laut Labuan bersama Pulau Kuraman dan Rusukan Kecil, yang diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin.

Statusnya sebagai taman laut menjadikan pulau itu kekal dengan air laut yang jernih kebiruan dan pantai berpasir putih sekali gus sesuai untuk aktiviti selam snorkel.

Kini, usaha giat dijalankan oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Taman Laut Malaysia dan pihak berkuasa Labuan untuk memelihara ekosistem dan memajukan potensi geopelancongan pulau ini secara lestari.

Ia seiring dengan pengiktirafan Labuan sebagai antara Tapak Geopark Kebangsaan yang bernilai tinggi dari segi pendidikan dan warisan bumi.

Pelawat yang ingin ke Pulau Rusukan Besar boleh menaiki bot dari Jeti Marina Labuan, dengan perjalanan kira-kira 40 minit.

Jika ingin bermalam, pakej harian dan penginapan juga ditawarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN