PETALING JAYA: Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) dijangka diwartakan hujung tahun ini untuk memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada rakyat daripada caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang tidak beretika.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga di Dewan Negara pada 4 September lalu dan bakal menjadi undang-undang induk dalam pemantauan kredit pengguna di Malaysia.
Menurutnya, setakat ini terdapat enam jenis perkhidmatan kredit pengguna yang beroperasi tanpa kawal selia antaranya skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan dan pengurusan hutang.
“Dengan kelulusan RUUKP, semua perkhidmatan ini akan diletakkan di bawah pengawasan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) sebaik akta ini berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hui Ying berkata, RUUKP merupakan sebahagian reformasi penting kerajaan dalam mengatur semula landskap kredit negara dengan lebih telus dan bertanggungjawab.
Katanya, kerajaan Madani menitikberatkan prinsip keadilan dan keterangkuman dalam tatakelola kewangan demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Menurutnya, RUUKP juga membuka jalan kepada penubuhan SKP sebagai badan bebas yang diberi mandat mengawal selia penyedia kredit yang sebelum ini tidak dipantau.
“SKP berperanan menasihati kerajaan mengenai dasar kredit pengguna, selain menggalakkan pemberi kredit mengamalkan tatakelakuan profesional serta bertanggungjawab.
“Fungsi SKP turut meliputi usaha memastikan industri kredit berkembang secara telus, cekap dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Melalui pelaksanaan akta itu, kerajaan berharap keyakinan rakyat terhadap institusi kewangan dapat dipulihkan, di samping memberi jaminan perlindungan yang lebih kukuh kepada pengguna. – UTUSAN











