SERDANG: Umat Islam di negara ini perlu menghentikan segala sentimen yang boleh mencetuskan perbalahan sehingga memecahbelahkan masyarakat atas nama agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan seperti itu sebaliknya hanya menjejaskan keharmonian dan menggugat kestabilan negara secara keseluruhan.
Beliau juga menyeru masyarakat Islam menjauhi peperangan di media sosial dan mengapi-apikan berita fitnah sehingga memecah belahkan keluarga dan masyarakat.
Katanya, ia sejajar dengan tema diangkat tahun ini iaitu ‘Membangun Ummah Madani’ sebagai terjemahan kesungguhan usaha kerajaan untuk kesejahteraan negara.
“Cukup-cukuplah kita berbalah sesama sendiri, meniup sentimen kebencian atas nama agama, berperang di media sosial, mengapi-apikan berita fitnah sehingga memecahbelahkan keluarga dan masyarakat, akhirnya bak peribahasa yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang.
“Umat Islam perlu memperkukuh penguasaan ilmu dan teknologi, merapatkan saf perpaduan, menjadi pendamai yang menyuburkan keharmonian sekaligus membangunkan gagasan Malaysia Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan menjunjung kasih sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 / 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Turut berangkat mencemar duli, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri kabinet.
Mohd. Na’im berkata, kerjasama erat bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri akan terus diperkasa untuk memastikan setiap program dilaksanakan berkesan bagi menangani isu-isu sosial dan kemasyarakatan.
“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kerjasama erat bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri akan terus diperkasa untuk memastikan program-program penghayatan Islam benar-benar berkesan bagi menangani isu-isu sosial dan kemasyarakatan,” katanya.
Menurutnya, majlis sambutan yang diangkat sebagai acara rasmi negara setiap tahun itu membawa makna besar, menyeru umat Islam untuk menghayati risalah serta peribadi mulia Nabi Muhammad.
“Kelahiran Rasulullah telah membawa sinar terang benderang, memadam kabut kejahilan, menyampai khabar gembira, merawat duka lara, mengangkat keadilan, menolak kezaliman, membimbing insan dengan ilmu, hikmah dan akhlak yang menawan.
“Al-Quran dan Sunnah disampaikan untuk mengukuh takwa dan iman, membawa rahmat buat sekalian alam. – UTUSAN










