TAWAU: Hospital Tawau bakal menjadi pusat rujukan kardiologi pertama di pantai timur Sabah menerusi pembinaan Invasive Cardiac Laboratory (ICL) yang dijangka memulakan operasi selepas proses tender dikeluarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ICL ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan pantai timur termasuk Tawau, Kunak, Lahad Datu, Semporna dan Sandakan, yang sebelum ini terpaksa mendapatkan rawatan jantung di Kota Kinabalu.
“Sebelum adanya kemudahan ini, pesakit serangan jantung kritikal terpaksa dirujuk ke pusat rawatan jauh, yang melambatkan rawatan dan meningkatkan risiko komplikasi. Dengan adanya ICL di Tawau, kita mampu memberikan rawatan dalam tempoh kurang 90 minit, selaras piawaian antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak ICL di Hospital Tawau, di sini hari ini.
ICL Hospital Tawau akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk prosedur diagnostik seperti angiografi koronari, rawatan intervensi seperti Primary PCI, pemasangan pacemaker, serta sokongan kritikal bagi kes-kes kecemasan. Fasiliti itu turut dilengkapi jaringan telekardiologi untuk perbincangan kes segera dengan pusat kepakaran negeri.
Menurut Dr. Dzulkefly, lawatan kerjanya ke Sabah selama tiga hari yang merangkumi enam daerah termasuk Sandakan, Kunak dan Tawau, turut memberi ruang untuk meneliti keperluan fasiliti kesihatan seperti klinik kesihatan, klinik desa dan hospital.
Selain ICL, beliau turut merasmikan inisiatif Mobile Farmasi Park & Take di Hospital Tawau, salah satu daripada enam unit yang telah dilaksanakan di Sabah bagi memendekkan masa menunggu pesakit mendapatkan ubat-ubatan.
“Program ini memudahkan warga emas dan pesakit kronik mengambil ubat tanpa perlu menunggu lama. Pesakit hanya membuat janji temu, kemudian mengambil ubat di kaunter pandu lalu atau terus di lokasi parkir,” jelasnya.
Beliau berkata, KKM turut bekerjasama dengan NGO dan pihak swasta untuk melancarkan penghantaran ubat ke rumah pesakit, termasuk menggunakan teknologi dron yang dilancarkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Klinik Kesihatan Merotai Besar.
Dr. Dzulkefly yakin pelaksanaan ICL Hospital Tawau dan inisiatif farmasi mudah capai ini akan meningkatkan kualiti rawatan, mengurangkan jurang jarak kawasan serta menjimatkan kos dan masa pesakit di pantai timur Sabah.










