PETALING JAYA: “Harap siasatan kali ini dapat dilakukan secara terperinci dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.”
Itu harapan ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, dia bersyukur apabila siasatan kali kedua diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Cuma saya berharap siasatan kali ini dapat dilakukan secara terperinci dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Ummu Haiman berkata, kubur anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangorakan akan digali pada Jumaat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, PDRM memberikan komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah bagi tujuan penyelarasan tindakan.
“PDRM mengambil maklum berkenaan permohonan oleh Ummu Haiman Bee Daulatgun yang telah difailkan melalui Peguam Naran Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, bagi mendapatkan perintah menggali semula jasad Syamsul Haris, yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
“Susulan itu juga PDRM turut memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti, berlandaskan undang-undang mengikut prinsip ‘Rule of Law’ bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor untuk digali semula.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.
Dalam prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden.
* Perintah untuk menggali keluar semula jasad Syamsul Haris Shamsudin, yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua di bawah penyeliaan responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.
* Suatu perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur iaitu patologi forensik untuk melakukan post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jasad itu dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.
* Suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan post-mortem itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh post-mortem dijalankan dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon iaitu Tetuan Naran Singh & Co.
Sebelum ini, media melaporkan, Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Semenyih pada 29 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet PALAPES UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan. – UTUSAN










