KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor mempersoalkan percanggahan maklumat awal berhubung waktu kematian anaknya pada 28 Julai lalu.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, pada hari kejadian, dia dihubungi seorang jurulatih PALAPES memberitahu anaknya dimasukkan ke Unit Kecemasan (ICU) Hospital Kota Tinggi kerana meracau atau sawan pada pukul 4.04 petang.
Dakwanya, dia kemudian menerima panggilan kedua pada 4.30 petang yang memaklumkan Syamsul Haris telah meninggal dunia di hospital terbabit.
“Namun, ketika di hospital, saya dimaklumkan bahawa anak saya sebenarnya dibawa ke sana (hospital) dalam keadaan ‘brought in dead’ (BID) pada pukul 6.23 petang.
“Jadi yang saya terima panggilan pada 4.30 petang malah kenyataan polis memaklumkan anak saya meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital seakan tidak betul.
“Lebih mengejutkan, ketika saya ingin mengisi borang (pendaftaran) saya mendapat tahu bahawa anak saya dimasukkan ke ICU dan telah meninggal dunia pada 3.50 petang. Jadi maklumat awal yang bercanggah ini sangat meragukan dan pelik,” katanya dalam sidang akhbar bagi menuntut keadilan kematian Syamsul Haris di sini, hari ini.
Dakwanya, Syamsul Haris pernah memaklumkan bahawa dia pernah diprovok oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadapnya.
“Dia (Syamsul Haris) tidak pernah menghidap sebarang penyakit sepanjang hidupnya. Malah, dia pernah memaklumkan ada pihak memanggilnya Gopal.
“Yang sangat menghairankan apabila rakan-rakannya seperti kunci mulut apabila ditanya,” dakwanya
Menurutnya, lebih meragukan apabila pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu menjalani bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor mendapati kecederaan teruk pada tubuh yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian berpunca daripada sawan.
Jelasnya, selain pendarahan dalam kuantiti banyak khususnya pada hidung dan mata yang dipercayainya terjadi susulan hentakan kuat di kepala, terdapat beberapa kecederaan lain seperti lebam dan luka pada badan termasuk leher serta bahu anaknya.
“Lebih menghairankan, ketika di hospital, saya seakan dihalang untuk melihat jenazah anak.
“Apa yang mengejutkan ketika melihat jenazah anak, kesan-kesan kecederaan tidak selari dengan sawan kerana hidung dia (Syamsul Haris) keluar darah yang sangat banyak malah terdapat kesan lebam.
“Saya percaya anak saya dibelasah, dicederakan dan didera hingga dia hilang nyawa. Justeru, saya menuntut bedah siasat kali kedua bagi jawapan sebenar berhubung kematiannya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Ummu menuntut siasatan semula segera dijalankan berhubung kematian anaknya ketika menjalani latihan di PALAPES UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram, Johor, dengan sebab kematian belum jelas.
Ummu turut menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian. – UTUSAN










