Guru pondok perlu kuasai AI, jadi benteng lawan sekular

Guru pondok perlu kuasai AI, jadi benteng lawan sekular

ANWAR Ibrahim (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pondok-pondok yang menghadiri Majlis Ijtima MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan di UiTM Machang, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG:  Semua guru pondok di negara ini perlu menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan institusi yang menjadi benteng akidah umat Islam itu tidak kalah dengan serangan baharu dalam dunia teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun begitu pengajian dan penggunaan kitab perlu dikekalkan.

“Kita tidak ganggu dan amalan itu masih dikekalkan, sebaliknya kita tambah dengan tuntutan baharu iaitu bidang AI. Tanpa penguasaan AI kita akan kalah dan bidang itu akan hanya menjadi versi berasaskan barat.

“Walaupun tahu AI, kita kena kuasai al-Quran. Sebab itu anak-anak pondok perlu dilatih sertai teknologi dan mengisi keperluan semasa,” katanya semasa berucap pada Majlis Ijtima Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM1.03 juta kepada institusi pondok yang menghadiri majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, institusi pondok perlu diperkasa semula sebagai benteng menghadapi pengaruh sekular, kerosakan moral dan cabaran teknologi masa kini.

Katanya, sekolah pondok menjadi tunjang mempertahankan Islam, malah pernah menjadi benteng menentang penjajah suatu ketika dahulu.

“Kita pilih pondok-pondok ini dan jadikan ia benteng semula. Barulah Madani dalam erti kata sebenar. Dulu benteng lawan penjajah, sekarang benteng lawan pengaruh sekular yang merosakkan anak-anak,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN