Guna nama harumanis hanya untuk lariskan produk

Guna nama harumanis hanya untuk lariskan produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis menzahirkan kebimbangan berhubung tindakan sesetengah pihak yang semakin aktif menggunakan nama harumanis bagi melariskan produk, sekali gus menjejaskan hak eksklusif buah berkenaan yang sinonim dengan negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Ha­shim Suboh berkata, apa yang membimbangkan produk-pro­duk dihasilkan menggunakan nama harumanis, namun tidak dapat dipastikan kesahihan buah tersebut yang hanya bermusim setahun sekali di Perlis.

HASHIM SUBOH

Katanya, jika terdapat ke­salahan dan cubaan mengelirukan dalam penggunaan nama seperti jeruk harumanis Kemboja dan sebagainya, pihak berkuasa perlu segera bertindak.

“Setakat ini, tidak ada varie­ti harumanis Kemboja. Sama juga seperti kes menjual mangga susu yang dipasarkan sebagai harumanis Kemboja.

“Sememangnya banyak di­kesan guna nama harumanis tetapi jika hanya sebut harumanis sukar untuk bertindak memandangkan paten menggunakan nama ‘harumanis Perlis’, melainkan ada bukti nyata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mangga harumanis Perlis telah didaftarkan sebagai harta intelek di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000 sejak 2 Ogos 2011 oleh Jabatan Pertanian Perlis dan telah diperbaharui bagi tempoh 10 tahun sehingga 2 Ogos 2031.

Maka dengan itu, harumanis Perlis mempunyai hak eksklusif untuk mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara serta diberi perlindungan oleh undang-undang harta intelek.

Hashim berkata, produk menggunakan perkataan harumanis tidak menjadi sebarang isu jika ia betul-betul menggunakan buah berkenaan.

Beliau berkata, antaranya seperti minuman yogurt atau aiskrim harumanis.

“Ada juga produk kosmetik seperti losyen harumanis, pelembap bibir (lip balm) harumanis. Yang ini, mungkin baik sekiranya memang ada menggunakan bahan asas harumanis tetapi mesti dibuktikan memang berasaskan kajian makmal. Ada juga teh daun harumanis yang mengikut laporan ada manfaatnya untuk kesihatan,” katanya.

Hashim turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengusaha harumanis yang lambat memanfaatkan peluang sehingga ada pihak lain mengambil kesempatan menggunakan nama premium tersebut.

Katanya, tidak banyak yang boleh dibuat persatuan, melain­kan perlu bekerjasama erat dengan kerajaan negeri.

“Ramai orang tidak sedar bahawa kerajaan negeri adalah stakeholder atau pihak berkepentingan terbesar dalam perladangan harumanis melalui ladang di bawah Jabatan Pertanian, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Yayasan Islam Perlis.

“Untuk membentuk kerjasama erat di antara kerajaan negeri dengan persatuan ini, perlu dibuang stigma berkaitan politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN