TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) memiliki kelebihan serta rekod pencapaian lebih baik berbanding blok pembangkang.
Walaupun apapun keputusan yang diambil oleh kepimpinan GRS dan PH pada akhirnya, kepemimpinan kerajaan negeri sekarang telah membuktikan keupayaan mentadbir Sabah sejak 2021.
“Berkaitan dengan perbincangan mengenai kerusi antara GRS dan PH, saya tidak terlibat, jadi saya tidak boleh komen apa-apa lah…yang itu di peringkat kepimpinan Majlis Tertinggi GRS,” ujar Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kerjasama dan rundingan GRS-PH-BN serta kemungkinan kelebihan memihak kepada blok pembangkang jika rundingan tiga parti menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, harus diingat rekod pencapaian kerajaan GRS-PH sejak 2021 membuktikan ia berada di landasan tepat untuk memacu pembangunan negeri.
“Di bawah kepimpinan GRS-PH, kita mempunyai Pelan Pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021–2025 sebagai KPI. Setakat pertengahan tahun ini, pencapaiannya telah mencecah 94 peratus. Ini bukti kita on the right direction,” tegasnya.
Nizam berkata, kerajaan negeri bermula dari sifar selepas mengambil alih pentadbiran ketika pandemik Covid-19, namun berjaya meningkatkan hasil negeri kepada RM7 bilion selain melaksanakan pelbagai inisiatif seperti bantuan pendidikan dan program menoktahkan miskin tegar.
“Kerajaan GRS-PH ini telah delived dan menunaikan mandat yang diberikan rakyat. Sekiranya diberi peluang sekali lagi, kita akan melaksanakan SMJ 2.0 untuk meningkatkan lagi pencapaian dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, rekod pencapaian kukuh ini menjadi kekuatan utama kerajaan dalam menghadapi sebarang cabaran politik termasuk jika kerjasama tiga blok politik utama di negeri itu tidak menjadi kenyataan. – UTUSAN










