KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan perlu mempercepatkan proses pelantikan jururawat tempatan bagi mengisi kekosongan sedia ada dan bukannya mengambil jururawat dari Indonesia.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, ramai graduan jururawat tempatan masih belum dilantik sehingga ada yang telah menunggu lapan bulan tanpa sebarang tawaran lantikan tetap atau kontrak.
Katanya, kualiti dan piawaian latihan jururawat tempatan juga lebih tinggi dengan mengikut piawaian Kementerian Kesihatan.
“Mengambil jururawat luar negara yang mungkin tidak mencapai standard yang sama berisiko menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan awam.
“Selain itu, jururawat tempatan lebih memahami budaya, agama serta sensitiviti sosial masyarakat Malaysia. Perbezaan ini berpotensi menimbulkan cabaran dalam komunikasi, pematuhan amalan rawatan berteraskan nilai tempatan, dan hubungan dengan pesakit serta keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Konsulat Jeneral Republik Indonesia Johor Bahru mencadangkan satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat Indonesia berkhidmat di negara ini bagi mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Adnan berkata, kerajaan juga perlu mengutamakan jururawat masyarakat lulusan Peningkatan Secara Lantikan (PSL) disamping memberi keutamaan jawatan tersebut kepada rakyat di negara ini.
“Ramai jururawat masyarakat yang telah menamatkan PSL masih menunggu pelantikan tetap. Golongan ini seharusnya diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan di hospital-hospital kerajaan.
“Paling penting, peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam wajar diberikan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan pengambilan pekerja asing, selaras dengan dasar mengutamakan kepentingan warga tempatan,” jelasnya.
Beliau berkata, Cuepacs sedia berbincang dengan pihak kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu kekurangan jururawat tanpa menjejaskan kebajikan mereka.-UTUSAN










