PETALING JAYA: Gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer yang dikesan berlaku di Segamat, Johor, pada pukul 6.13 pagi direkodkan berlaku di Zon Sesar Mersing.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata lokasi gempa itu berada pada koordinat 2.51° Utara, 102.76° Timur, iaitu kira-kira lima kilometer di barat Segamat.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang. Kejadian tersebut turut dikesan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia.
“Selain itu, gempa bumi susulan bermagnitud 2.8 direkodkan pada pukul 9.00 pagi di Yong Peng, Johor, iaitu kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang kerana gempa bumi yang berlaku adalah pada magnitud lemah.
“Maklumat lanjut berkaitan cuaca dan gempa bumi boleh diperoleh melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca atau media sosial rasmi MetMalaysia.
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – UTUSAN