Gegaran ancam infrastruktur kritikal

Gegaran ancam infrastruktur kritikal

Gegaran kecil yang berlaku di daerah Segamat dipercayai berpunca daripada kewujudan sesar baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siri gegaran bumi yang melanda Segamat berisiko menjejaskan bangunan lama dan infrastruktur kritikal termasuk sekolah, hospital serta jambatan.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Noor Azim Mohd. Radzi berkata, kesan daripada gegaran berulang boleh meningkatkan risiko kerosakan jika langkah pencegahan tidak diambil segera.

“Dari perspektif kejuruteraan, inilah yang membimbangkan kerana gegaran mungkin lemah tetapi impak terkumpulnya mampu mengancam keselamatan struktur. 

“Penilaian semula tahap ketahanan seismik infrastruktur kritikal perlu dilakukan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan siri gegaran itu berpunca dari Zon Sesar Mersing dengan kedalaman sekitar 10 kilometer dan mengklasifikasikannya sebagai lemah namun kesannya tetap serius apabila melibatkan keselamatan struktur binaan.

Segamat mempunyai latar geologi yang unik kerana terletak dalam Jalur Geologi Tengah Semenanjung Malaysia dengan batuan sedimen dan kesan aktiviti gunung berapi lama.

Noor Azim berkata, garis panduan reka bentuk bangunan perlu diperkemas agar mengambil kira kesan gegaran berulang, bukan hanya satu insiden tunggal dengan kajian wajar diintegrasikan dalam perancangan bandar terutama di kawasan berdekatan Zon Sesar Mersing.

“Realitinya kesiapsiagaan bencana adalah tanggungjawab bersama iaitu pihak berkuasa menggubal standard, jurutera mengaplikasikan ilmu reka bentuk tahan gempa manakala masyarakat mengamalkan langkah keselamatan,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mariyana Aida Ab. Kadir berkata, reka bentuk bangunan moden kini wajib mempunyai ciri-ciri ketahanannya terhadap gegaran gempa bumi.

Katanya, konsep utama struktur tahan gempa bumi adalah memastikan komponen bangunan mampu menyerap tenaga gegaran secara berkesan sekali gus mengelakkan keruntuhan mendadak.

“Ini penting untuk mengelakkan kegagalan berantai yang boleh meruntuhkan keseluruhan struktur ketika gempa bumi berlaku,” katanya.

Mengulas sejauh mana teknologi pembinaan Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa, Mariyana Aida berkata, jurutera dan geoteknik tempatan sentiasa bekerjasama bagi memastikan parameter yang tepat digunakan ketika proses rekabentuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN