Fasa pertama Ipoh Sentral siap dalam tempoh setahun - Utusan Malaysia

Fasa pertama Ipoh Sentral siap dalam tempoh setahun

ANWAR Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah pembangunan Ipoh Sentral di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Fasa pertama pembangunan Ipoh Sentral melibatkan pemeliharaan kawasan hijau seluas 2.5 hektar termasuk penambahbaikan landskap dan taman rekreasi dijangka siap dalam tempoh setahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, pihak pemaju perlu menyiapkan taman rekreasi itu terlebih dahulu sebelum meneruskan fasa pembangunan seterusnya.

“Inilah bezanya kerajaan Madani, pendekatan kita adalah berbeza. Kita mahu pemaju buat sesuatu untuk masyarakat setempat dengan menyiapkan taman rekreasi sebelum mereka mendapatkan hasil.

“Taman rekreasi tidak beri apa-apa keuntungan kepada pemaju kerana tidak boleh jual tanah, tetapi ia amat penting untuk rakyat setempat khususnya warga Ipoh merasai dahulu pembangunannya.

“Jadi saya beri syarat kepada pemaju dalam tempoh enam ke 12 bulan untuk menyelesaikan fasa pertama supaya taman rekreasi ini boleh dibuka kepada orang ramai.

“Pihak pemaju perlu ingat ini antara syarat utama dan komitmen di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya harap tidak sampai setahun, beliau boleh kembali ke sini untuk pembukaan taman rekreasi ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh, di sini hari ini.

Majlis pecah tanah tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Anthony, pelaksanaan projek Ipoh Sentral dengan nilai pembangunan kasar RM6.2 bilion itu bakal mengubah landskap bandar raya Ipoh menjadi hub transit moden yang lebih dinamik.

Katanya, projek yang dibangunkan secara berperingkat selama 20 tahun di atas tanah seluas 27 hektar itu menghubungkan pelbagai mod perjalanan di samping penyediaan pusat perniagaan dan komersil serta perumahan.

“Lebih daripada sekadar medium pengangkutan, rangkaian kereta api berpotensi memacu Ipoh sebagai hab transit moden berteraskan kemudahan pengangkutan, pembangunan bercampur dan kelestarian bandar,” katanya.

Tambah beliau, projek yang terletak bersebelahan dengan Stesen Keretapi Ipoh itu dibangunkan dengan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) iaitu pendekatan utama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dalam memajukan tanah-tanah kereta api.

“RAC selaku pemilik aset kereta api negara telah memainkan peranan penting dan menunjukkan komitmen tinggi dalam memajukan aset-aset ini kepada pembangunan bernilai tinggi serta memberi impak positif kepada komuniti.

“Beberapa kerjasama strategik telah pun dilaksanakan sebelum ini termasuk Seremban Sentral serta lokasi lain di Selangor dan Kuala Lumpur. Usaha ini membuktikan bahawa tanah-tanah kereta api bukan sahaja aset fizikal tetapi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di sekitarnya,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, Ipoh Sentral Sdn. Bhd. (ISSB) dan Country Annexe Sdn. Bhd. (CASB) telah menandatangani memorandum perjanjian untuk membangunkan Ipoh Sentral yang berkonsepkan TOD.

ISSB dibentuk oleh anak syarikat di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan RAC manakala CASB pula merupakan anak syarikat milik Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB).

Pembangunan Ipoh Sentral akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan pemeliharaan kawasan hijau seluas 2.5 hektar termasuk penambahbaikan landskap serta taman rekreasi.

Fasa kedua pula melibatkan pembangunan bercampur di kawasan seluas 24.4 hektar dengan tempoh pembangunan dianggarkan selama 20 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN