KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan sistem eVetPermit 3.0 yang menetapkan tempoh sehingga 42 hari untuk lembu atau kerbau dipindahkan atau disembelih bertujuan memastikan kawalan penyakit ternakan dapat dijalankan secara lebih berkesan.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPVNT), Dr. Anun Man berkata, sistem yang berkuat kuasa mulai 3 Ogos lalu di seluruh Semenanjung itu membolehkan pemohon membuat deklarasi status ternakan secara dalam talian dengan dokumen sokongan berkaitan.
Katanya, sehingga 17 Ogos lalu, sebanyak 424 permit diluluskan melibatkan 385 permit dalam negeri dan 39 permit antara negeri.
“Dengan sistem ini, risiko ternakan dipindahkan tanpa pengesahan sumber dan status kesihatan dapat dikurangkan, sekali gus mengelak penularan penyakit yang boleh menjejaskan industri penternakan negara,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, bagi ternakan ruminan tempatan yang tdivaksin penyakit kuku dan mulut (FMD), ia tidak perlu lagi melalui proses pemvaksinan dua peringkat (P1 dan P2) yang biasanya mengambil masa sehingga 35 hari sebelum pemindahan.
“Setakat Julai lalu, sebanyak 11,098 suntikan vaksin FMD telah dilaksanakan di Terengganu. Ternakan yang divaksin boleh dipindahkan lebih awal manakala ujian Brucellosis masih wajib bagi kawalan penyakit zoonosis,” katanya.
Anun berkata, bagi ternakan tanpa rekod kesihatan jelas, prosedur pemvaksinan tetap perlu dijalankan termasuk kuarantin di bawah Seksyen 18(2) Akta Binatang 1953.
“JPVNT juga sedia membantu penternak dengan menyediakan kaunter pendaftaran eVetPermit 3.0, khidmat nasihat serta suntikan vaksin dan tag telinga secara percuma buat masa ini,” katanya.
Semalam, hampir 100 penternak dari seluruh Terengganu berhimpun secara aman di hadapan pejabat JPV Terengganu bagi menyuarakan bantahan terhadap prosedur baharu itu. Mereka mendakwa tempoh menunggu sehingga 42 hari menyebabkan kos operasi meningkat kerana setiap ekor lembu memerlukan belanja makanan lebih RM10 sehari. – UTUSAN










