KOTA BHARU: Ekonomi di kawasan sempadan negeri ini semakin tenat berikutan ribuan rakyat tempatan terus memilih berbelanja di negara jiran khususnya di Hatyai, Thailand berbanding menyokong peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.
Fenomena ‘pengaliran keluar’ kuasa beli ini kini berlaku secara besar-besaran setiap hujung minggu dan cuti umum dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor sesak sejak awal pagi.
Kesan langsungnya, banyak premis perniagaan di zon bebas cukai ini semakin sepi manakala peniaga kecil terpaksa bergelut untuk kekal beroperasi walaupun hanya mencatat jualan ratusan ringgit sebulan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, faktor utama yang mendorong rakyat tempatan ‘melarikan’ kuasa beli mereka disebabkan harga barangan yang dijual di Thailand lebih murah berbanding di kedua-dua zon bebas cukai tersebut.
Selain itu, deretan lot-lot kedai sebelum ini gah dengan urusan niaga bertukar menjadi ‘mati’ sekali gus mencacatkan pemandangan.
Tidak cukup dengan itu, sebuah bangunan gah yang dikenali sebagai Bazar Abdul Rahman Auf turut terbiar dan kawasan parkir di bawah premis itu menjadi tempat air bertakung.
Rata-rata peniaga di kedua-dua zon bebas cukai itu mengakui perniagaan mereka hanya rancak setiap kali musim cuti sekolah ketika pelancong luar Kelantan singgah membeli-belah di kawasan tersebut.

Seorang peniaga di zon bebas cukai Rantau Panjang, Hasnah Hussien, 64, berkata, hanya tempoh itu dia tidak menang tangan melayan pelanggan untuk membeli pakaian.
“Kalau hari biasa kebanyakan peniaga di sini banyak berehat termasuk pada hujung minggu. Nak dapat jualan cecah RM100 sehari pun sudah. Lebih menyedihkan, ada peniaga di sini mengambil keputusan menutup premis mereka.
“Perniagaan hanya kembali dibuka setiap kali hujung minggu, cuti umum atau cuti penggal persekolahan,” katanya.
Bagi peniaga buah-buahan yang mahu dikenali sebagai Azian, 42, apa yang berlaku di Rantau Panjang turut menghantui peniaga di zon bebas cukai Pengkalan Kubor.
Katanya, lokasi itu hanya menjadi tumpuan setiap kali cuti umum dan penggal persekolahan.
“Persaingan dengan peniaga dalam talian turut memberikan impak besar kepada kami di sini. Kebanyakan pelanggan lebih selesa memilih membeli barangan secara dalam talian.
“Pilih, bayar dan kemudian barangan tersebut dihantar terus ke rumah tanpa perlu keluar untuk membelinya,” ujarnya.
Azian berharap kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi memastikan nasib peniaga di sini terus terbela.
Sementara itu, Bendahari Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan, Dr. Fazlan Ghazali berkata, satu kajian dari sudut makro dan mikro berkaitan zon bebas cukai perlu dijalankan bagi mengembalikan semula fungsi kewujudan kawasan berkenaan. – UTUSAN









