MELAKA: Sebanyak 450 peket rokok disita manakala dua premis dikompaun RM20,000 selepas dikesan menjual rokok di bawah harga minimum RM12 dalam Operasi Selamat Paru-paru (Op Selamat Papa) yang dijalankan di sekitar Duyong di sini, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sebanyak 10 premis diperiksa dan dua daripadanya didapati menjual rokok bawah harga minimum ditetapkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan dengan nilai RM1,500 termasuk satu kesalahan merokok di kawasan larangan merokok Seksyen 16 (2) dan lima kesalahan gagal mempamer tanda larangan merokok iaitu Seksyen 18 (1) (a).
“Dua kes dikesan di bawah Seksyen 14 kerana menjual rokok pada harga lebih rendah dan operasi ini turut menyita 450 peket rokok tidak sah yang dianggarkan bernilai RM3,055.50 manakala nilai kesalahan yang dikesan dalam operasi malam ini berjumlah RM44,555.50,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi tersebut.
Hee Sem berkata, penguatkuasaan Akta 852 akan terus diperkasa khususnya terhadap premis makanan, pejabat dan tempat awam agar bebas sepenuhnya daripada aktiviti merokok.
“Saya menyeru semua pemilik premis supaya mematuhi syarat dan peraturan termasuk memasang tanda larangan merokok bersaiz minimum 40 sentimeter (cm) lebar dan 50cm panjang yang mudah dilihat.
“Orang awam disaran agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelanggaran larangan merokok kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – UTUSAN










