GEORGE TOWN: Dua pemancing yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Kendi sejak semalam ditemui selamat awal pagi tadi selepas bot yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 34 dan 64 tahun itu dilaporkan keluar memancing kira-kira pukul 10 pagi dan sepatutnya pulang malam tadi.
“Bagaimanapun, sehingga malam semalam (tadi) mereka gagal dihubungi sebelum laporan awam diterima mengenai kehilangan dua kru berkenaan pada pukul 10.30 malam.
“Sejurus menerima maklumat, aset penguatkuasa digerakkan serta-merta bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar koordinat terakhir bot berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Suffi, operasi yang dijalankan hampir lima jam itu akhirnya berhasil apabila kedua-dua mangsa ditemui bersauh pada kedudukan 15 batu nautika barat ke Pulau Kendi kira-kira pukul 3 pagi tadi.
“Kedua-dua kru tersebut berada dalam keadaan sihat dan stabil, namun, pemeriksaan lanjut mendapati, bot yang dinaiki mereka mengalami kegagalan enjin.
“Bot penguatkuasa kemudiannya memberi bantuan teknikal sebelum mengiringi bot pemancing itu hingga selamat merapat di Jeti Limbungan Batu Maung,” katanya.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas penyaluran maklumat pantas serta menasihatkan komuniti nelayan supaya melengkapkan diri dengan Personal Locator Beacon (PLB) sebagai langkah keselamatan. – UTUSAN










