SEREMBAN: Penolong Setiausaha Organisasi DAP Negeri Sembilan, S. Mugunthan, 40, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya dalam Pilihan Raya Negeri (PN) Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Mugunthan dicalon bagj menggantikan penyandang, Datuk P. Gunasekaran yang telah berkhidmat selama empat penggal sejak 2008.
Menurutnya, meski tampil sebagai muka baharu pada pilihan raya kali ini, Mugunthan bukanlah asing dalam parti kerana telah bersama DAP sejak 2012.
“Beliau mempunyai kelayakan sebagai jurutera dan kini, beliau juga berkhidmat sebagai pegawai penyelidik kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, J.Arul Kumar.
“Dengan komitmen dan pengalaman dalam pilihan raya, kerja di peringkat kawasan serta pentadbiran, kami merasakan beliau merupakan calon terbaik untuk mewakili DUN Seremban Jaya,” katanya semasa sidang akhbar Majlis Pelancaran Bilik Gerakan PH di Seremban Jaya, di sini hari ini.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Gunasekaran menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 12,703 undi. – UTUSAN










