PETALING JAYA: Kerajaan perlu menetapkan tempoh perkhidmatan tetap bagi doktor kerajaan ditempatkan di klinik kesihatan dan hospital luar bandar dengan jaminan mereka bakal dipindahkan semula selepas tempoh tugas berakhir.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh berkata, langkah itu penting untuk memberi kepastian kepada doktor berkhidmat di kawasan pedalaman dan mendorong lebih ramai bersedia menerima penempatan tersebut.
“Jaminan ini perlu disertai pilihan untuk menyambung sekiranya mereka mahu, manakala penggantian juga wajar dilakukan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan di kawasan terbabit.
“Kerajaan perlu memberi perhatian lebih baik terhadap kebajikan doktor kerana pada masa ini, mereka menerima tawaran jawatan tetap menanggung sendiri kos logistik untuk memindahkan barangan serta keluarga yang sangat tinggi khususnya bagi penempatan di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, pegawai perubatan yang bersetuju menerima tawaran penempatan tetap di fasiliti Kementerian Kesihatan khususnya di Sabah dan Sarawak amat rendah berbanding jumlah kekosongan jawatan disediakan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, di Sarawak hanya tujuh pegawai perubatan memilih penempatan tetap manakala di Sabah hanya 15 orang walaupun hampir 1,000 jawatan tetap ditawarkan di kedua-dua negeri itu.
Dr. Kalwinder berkata, elaun insentif wilayah (BIW) diberikan kepada pegawai perubatan baharu di Sabah dan Sarawak jauh lebih rendah berbanding rakan sekerja yang sudah lama berkhidmat di sana.
“Keadaan ini tidak adil kerana pegawai dengan tahap senioriti, gred gaji dan tanggungjawab yang sama sepatutnya menerima pendapatan bersih yang setara.
“MMA mencadangkan agar doktor luar bandar berminat melanjutkan pengkhususan diberi sokongan tambahan termasuk keutamaan dalam permohonan serta tempoh kelayakan lebih singkat.
“Mewujudkan laluan kerjaya jelas dan peluang pembangunan profesional boleh menggalakkan lebih ramai doktor melihat penempatan luar bandar sebagai peluang, bukannya cabaran semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, faktor pembangunan tidak sepesat bandar serta keinginan kekal berhampiran keluarga menyebabkan ramai doktor muda cenderung memilih penempatan bandar.
“Namun masih terdapat ramai yang sanggup menyahut cabaran berkhidmat di mana sahaja mereka ditempatkan. Malah, pengalaman berkhidmat di fasiliti kesihatan luar bandar boleh menjadi sangat berharga kerana hubungan doktor-pesakit lebih erat melalui kesinambungan rawatan,” katanya.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, kekurangan pegawai perubatan pedalaman, beliau menimbulkan kesukaran dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mencukupi terutamanya bagi mereka bergantung sepenuhnya kepada fasiliti tempatan.
“Pengambilan doktor dari luar negara untuk mengisi kekosongan di Sabah dan Sarawak boleh dipertimbangkan sebagai langkah jangka pendek bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman tidak terjejas.
“Pelbagai insentif wajar diberikan kepada doktor tempatan bagi menarik minat mereka berkhidmat di kawasan pedalaman,” katanya.-UTUSAN










