JOHOR BAHRU: Ibu kepada Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, yang mengalami gegaran otak dipercayai akibat dibuli mengakui daya ingatan anaknya sudah semakin merosot sejak kejadian tersebut.
Siti Suhana Misdi, 39, memberitahu, walaupun anaknya mengidap kanser hidung namun dia tetap menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain termasuklah aktif dan suka belajar.
Bagaimanapun katanya, keadaan semakin berubah setelah insiden buli yang mengakibatkan anaknya mengalami gegaran di bahagian otak sehingga perlu dirawat di hospital.
“Sebelum ini dia cergas, aktif dan suka belajar tetapi sekarang sudah berubah, dia menjadi pelupa dan sudah hilang fokus. Apabila saya minta dia lakukan sesuatu dia akan lupa dan bertanya semula.
“Sebagai contoh, apabila saya minta dia ambil kain di dapur, dia akan pergi dapur tetapi lupa apa yang hendak dilakukan di sana, kemudian dia datang tanya saya semula. Perkara seperti itu kerap berlaku.
“Kami bimbang ini disebabkan gegaran yang dialami di bahagian otaknya sebelum ini, sehingga berlaku ‘memory lost’ yang serius,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Siti Suhana, dia mendedahkan insiden menimpa anak lelakinya itu bukan untuk mendapatkan simpati mahupun perhatian umum, sebaliknya mahu keadilan buat anaknya.
“Mungkin ada pihak kurang senang saya dedahkan perkara ini, tetapi saya perlu lakukannya. Kami sudah melantik peguam untuk menuntut ganti rugi bagi apa yang telah kami alami sejak kejadian ini berlaku.
“Keluarga kami bukan orang senang, saya juga memiliki tanggungjawab menjaga anak-anak lain. Semoga ini menjadi pengajaran kepada semua pihak terlibat khususnya ibu bapa dan pengurusan sekolah,” ujarnya lanjut.
Semalam, akhbar ini melaporkan bahawa Izzul Islam yang merupakan pesakit kanser hidung telah dipukul murid darjah enam di sekolahnya pada 21 Februari lalu apabila pelaku tidak berpuas hati kerana cintanya terhadap kakak mangsa ditolak.
Susulan kejadian itu, Siti Suhana mendakwa anaknya telah dipukul, ditendang, kepalanya dihentak serta turut dibogelkan.
Bagaimanapun suri rumah itu berkata tiada tindakan tegas boleh diambil pihak berkuasa kerana pelaku adalah seorang kanak-kanak dan belum mampu berfikir secara rasional. – UTUSAN











