KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengekalkan dasar untuk tidak lagi meluluskan penjualan atau pengeluaran Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada syarikat korporat, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan komersial atau keuntungan peribadi.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, dasar itu dikuatkuasakan sejak keputusan Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2022 dan kini dilihat sebagai langkah tegas kerajaan dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti serta hasil negara digunakan untuk kepentingan rakyat.
Katanya, Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) kini hanya ditawarkan secara pembidaan awam menerusi sistem JPJeBid dan hasilnya disalurkan terus ke Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.
“Sejak sistem bidaan diperkenalkan pada 2023, sebanyak RM110,069,150 telah berjaya dikutip. Dana ini seterusnya digunakan untuk pelbagai program kesejahteraan rakyat.
“Ia termasuk Bantuan Lesen Memandu Percuma (MyLesen B2), Program Penukaran Topi Keledar Lama secara Percuma, Subsidi Tambang Udara FlySiswa, caruman PERKESO percuma di bawah Skim Pekerjaan Sendiri dan Kempen keselamatan jalan raya di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai garis panduan dan kriteria oleh Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meluluskan siri plat nombor kenderaan khas termasuk yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan, NGO atau entiti swasta.
Hasi berkata, tiada lagi sebarang kelulusan akan diberikan kepada mana-mana pihak termasuk syarikat dan NGO untuk mengeluarkan atau menjual nombor khas yang boleh menjana keuntungan.
Beliau menjelaskan, langkah itu adalah bagi menjamin hasil negara sampai terus kepada rakyat.
“Langkah ini turut menyokong komitmen kerajaan dalam meningkatkan integriti dan menutup ruang penyelewengan dalam pemberian nombor pendaftaran kenderaan yang selama ini sering dikaitkan dengan unsur kronisme dan keuntungan eksklusif,” ujarnya.-UTUSAN










