Alliance Bank lakar sejarah, Heritage Run 2026 rekod penyertaan tertinggi

Alliance Bank lakar sejarah, Heritage Run 2026 rekod penyertaan tertinggi

RONNIE Royston Fernandiz (depan, kanan) ketika melepaskan peserta acara Heritage Run 2026 di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) berjaya melakar sejarah tersendiri apabila acara larian tahunan yang mereka anjurkan iaitu Heritage Run 2026 kelmarin merekodkan penyertaan tertinggi iaitu seramai 6,300 peserta.

Berlangsung di Padang Kota Lama di sini, Heritage Run 2026 yang dianjurkan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) itu secara tidak langsung turut membantu mempromosikan warisan budaya di Pulau Pinang.

Dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Larian Keluarga sejauh tiga kilometer (km), Larian Kompetitif 10 km serta Larian Separuh Maraton 21km, acara pelepasan larian tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Alliance Bank sendiri iaitu Ronnie Royston Fernandiz.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Bank, Kellee Kam berkata, sambutan yang diterima pada edisi keempat penganjuran Heritage Run itu secara tidak langsung membuktikan bahawa acara larian tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat termasuk pelancong dari luar negara.

“Acara sukan seperti ini merupakan platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat sambil menghargai seni warisan dan budaya tempatan di Pulau Pinang. Justeru, sebagai ‘The Bank for Life’, kami komited untuk membina komuniti yang lebih sihat selain menyokong pertumbuhan yang mampan,” katanya di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, Alliance Bank turut melancarkan satu kempen baharu yang dinamakan ‘KM TO RM Challenge 2026’ iaitu cabaran simpanan berkonsepkan lari-untuk-ganjaran (run-to-earn), dipercayai yang pertama seumpamanya di Malaysia ketika ini.

Cabaran yang berlangsung mulai Ogos hingga Oktober depan itu menawarkan ganjaran kepada peserta yang konsisten mencapai sasaran larian bulanan menerusi aplikasi BiiB, selain menggalakkan amalan menabung melalui Alliance Bank Basic Savings Account/-i.

Justeru, orang ramai yang berminat untuk menyertai kempen berkenaan boleh berbuat demikian dengan mendaftar selewat-lewatnya pada 31 Julai ini dengan membuka Alliance Bank Basic Savings Account/-i memandangkan hanya 1,200 tempat disediakan untuk cabaran tersebut.

Terdahulu, pelari kebangsaan, Yeow Ni Jia muncul juara bagi kategori terbuka lelaki 21 km manakala kategori wanita bagi jarak larian yang sama pula diungguli oleh Melanie Goh See Ler.

Kategori terbuka lelaki 10 km pula menjadi milik Mohammad Izul Amirul Mukmim manakala Ong Ee Ling pula memenangi kategori terbuka wanita untuk 10 km.

Secara keseluruhanya, sebanyak RM24,400 wang tunai ditawarkan sebagai ganjaran kepada pemenang-pemenang utama Heritage Run 2026 dan kesemua pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan turut menerima pingat penamat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian masing-masing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN