LONDON: Manchester United semakin hampir mendapatkan khidmat pemain tengah Aston Villa, Youri Tielemans selepas mengaktifkan klausa pelepasan bernilai 35 juta pound.
Villa sebelum ini cuba mengekalkan pemain antarabangsa Belgium itu dengan menawarkan kontrak baharu, namun syarat dalam perjanjian Tielemans membolehkan United meneruskan rundingan.
Perbincangan kini dikatakan semakin pantas.
Tielemans, 29, menjadi antara tonggak penting Villa sejak menyertai kelab itu tiga musim lalu, malah pengalaman luasnya di Liga Perdana Inggeris, kemampuan mengawal tempo permainan serta kualiti hantaran menjadikannya sasaran menarik buat United.
Perpindahan ini hadir ketika kedua-dua kelab berdepan perubahan besar. Villa perlu mengurus kewangan di bawah peraturan UEFA selepas layak ke Liga Juara-Juara manakala United mahu memperkukuhkan bahagian tengah selepas kehilangan Casemiro dan kecederaan panjang Manuel Ugarte.
United juga sedang berusaha mendapatkan pemain tengah Chelsea, Andrey Santos, dalam perjanjian sekitar 50 juta pound setelah mereka gagal mendapatkan beberapa sasaran seperti Elliot Anderson dan Mateus Fernandes.
Jika Tielemans meninggalkan Villa Park, skuad Unai Emery akan berdepan masalah di bahagian tengah selepas Amadou Onana mengalami kecederaan ACL dan Boubacar Kamara masih belum pulih sepenuhnya.
Dalam perkembangan lain, Arsenal berminat mendapatkan Morgan Rogers, tetapi Villa hanya bersedia berbincang jika tawaran melebihi 100 juta pound. – AGENSI/UTUSAN










