Ops Mega: Imigresen Perlis tahan 11 warga asing - Utusan Malaysia

Ops Mega: Imigresen Perlis tahan 11 warga asing

ANTARA warga Bangladesh yang ditahan di Kompleks KDN, Kangar, Perlis, selepas Ops Mega dilaksanakan oleh JIM Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri menahan 11 lelaki warga Bangladesh menerusi Operasi Mega Bersepadu (Ops Mega) yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara, hari ini.

Dalam operasi itu, seramai 38 individu telah diperiksa secara keseluruhan selama kira-kira dua jam bermula pada pukul 10 pagi dengan penumpuan diberikan sekitar kawasan Arau, Beseri dan Kangar.

Pengarah Imigresen negeri, Mohammad A’sim Md Ali berkata, pemeriksaan dijalankan itu membabitkan seramai 14 warganegara tempatan dan 24 warga asing berusia antara 22 hingga 57 tahun.

“Seramai 13 anggota ditugaskan dalam operasi ini bagi melakukan pemeriksaan di pelbagai premis perniagaan, tempat kerja dan tapak pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar Ops Mega di Pusat Latihan Imigresen Wilayah Utara (INTRAC) Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Mohammad A’sim berkata, pemeriksaan lanjut ke atas warga asing terlibat membawa kepada penahanan 11 lelaki warga Bangladesh di mana 10 daripadanya disyaki melanggar syarat pas mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, seorang lagi warga Bangladesh ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Siasatan mendapati warga Bangladesh yang ditahan ini kebiasaannya bekerja di bengkel dan ada juga yang mengambil upah mengerjakan sawah padi.

“Semua tahanan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kangar untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad A’sim berkata, JIM negeri telah melaksanakan sebanyak 241 operasi bermula sejak awal tahun ini sehingga semalam dengan membabitkan pemeriksaan ke atas seramai 2,865 orang individu.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai 190 pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Operasi dilaksanakan ini merangkumi Ops Belanja yang memfokuskan pemeriksaan rawak, Ops Selera (premis makanan), Ops Dandan (kedai gunting rambut), Ops Sapu (pengangkutan awam) serta Ops Mahir (bengkel dan pekerjaan teknikal),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN