PUTRAJAYA: Malaysia secara rasmi memperkenalkan tema ‘Raikan Perpaduan’ sebagai identiti Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 2027, sekali gus membawa mesej penyatuan negara-negara Asia Tenggara menerusi kuasa sukan apabila menjadi tuan rumah temasya berprestij itu tahun depan.
Pengumuman bersejarah itu disertai pelancaran logo rasmi serta maskot TUAH, yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari, pada majlis anjuran Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 di sini, hari ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, tema ‘Raikan Perpaduan’ dipilih kerana mencerminkan kekuatan sebenar Malaysia dan rantau ASEAN, selain menjadi simbol semangat kebersamaan yang diharap mampu menghubungkan rakyat serta atlet pelbagai negara melalui nilai kesukanan.
Turut mencuri perhatian ialah pengenalan maskot TUAH, yang melambangkan generasi baharu Malaysia berjiwa berani, dinamik, yakin dan mesra. Nama TUAH pula membawa pengertian kejayaan, kecemerlangan serta keberuntungan yang lahir daripada usaha, disiplin, ketekunan, kesetiaan dan perpaduan.
Logo rasmi temasya itu pula menampilkan identiti visual moden yang menggambarkan aspirasi Malaysia menyatukan ASEAN melalui sukan, selain direka supaya mudah dikenali di pentas antarabangsa.
Taufiq berkata, tema yang diperkenalkan bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi lambang semangat kebersamaan yang perlu diterjemahkan oleh seluruh warga ASEAN sepanjang temasya berlangsung.
“Tema yang diperkenalkan bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi cerminan semangat perpaduan yang berdaya tahan serta seruan kepada semua atlet untuk melangkaui had kemampuan masing-masing dalam memburu kejayaan.
“Logo ini melambangkan dinamisme, kepelbagaian budaya dan keharmonian rakyat Asia Tenggara yang digabungkan dengan identiti Malaysia yang progresif.
“Maskot pula bukan sekadar identiti visual, tetapi melambangkan keberanian, semangat kesukanan, inovasi serta aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan berteraskan teknologi,” katanya.
Malaysia dijadual menganjurkan Sukan SEA Ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027, sebelum disusuli Sukan Para ASEAN Ke-14 yang akan berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027, sekali gus menandakan kembalinya negara sebagai tuan rumah temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara itu.-UTUSAN










