PETALING JAYA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan hubungan politik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang didakwa bertindak sebagai ejen Perikatan Nasional (PN) dalam Kerajaan Perpaduan.
DAPSY Selangor dalam kenyataan berkata, tindakan Muhamad Akmal yang terus mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan mengelirukan masyarakat walaupun selepas didakwa di Mahkamah Majistret, Bukit Mertajam, Pulau Pinang jelas menunjukkan beliau tidak insaf.
Katanya, Muhamad Akmal kerap menonjolkan dirinya dalam media sosial sebagai ‘mangsa’ perjuangan kaum, sedangkan isu yang dibangkitkan seperti kes Jalur Gemilang di Pulau Pinang dan Johor telah disiasat oleh pihak berkuasa.
“Sebaliknya, Akmal sendiri didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan melampau yang mengganggu ketenteraman awam. Ini membuktikan tindakannya jauh lebih serius dan melangkaui batas undang-undang,” katanya.
Semalam, Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bukit Mertajam atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung isu Jalur Gemilang.
DAPSY Selangor berkata, Muhamad Akmal bersifat hipokrit kerana mendesak orang lain dikenakan hukuman lebih berat, tetapi berdiam diri apabila dirinya didakwa di mahkamah.
Katanya, beliau dilihat bersikap double standard apabila tidak menegur kesilapan Pas Terengganu memaparkan Jalur Gemilang yang salah, dan sanggup mengetuai demonstrasi terhadap seorang peniaga kedai perkakasan yang sudah memperbetulkan kesilapannya serta disiasat polis.
Kenyataan itu turut menolak gesaan pihak tertentu yang mahu menjadi ‘orang tengah’ dengan menyamakan DAPSY dan Muhamad Akmal.
“Isu tersebut bukan pertelingkahan biasa tetapi melibatkan seorang Ketua Pemuda parti dan Exco negeri yang mencabar kedaulatan undang-undang serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk.
“DAPSY Selangor tidak akan sesekali bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong politik perkauman, politik samseng atau berpakat dengan PN untuk menjatuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Kami menuntut agar DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan hubungan politik dengan Muhamad Akmal secara tegas demi kestabilan kerajaan dan keharmonian negara,” katanya.-UTUSAN










