KUALA TERENGGANU: Paya Bunga Hotel (PB Hotel) terus memperkukuh kedudukannya sebagai hotel bandar pilihan di Terengganu dengan melancarkan Newsletter PB Hotel iaitu buletin berkala yang menjadi saluran rasmi berkongsi berita terkini, promosi eksklusif, pencapaian hotel serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias berkata, pelancaran berkenaan membuktikan komitmen pihaknya untuk kekal relevan dalam industri hospitaliti yang semakin mencabar.
Katanya, langkah itu dilihat sebagai usaha strategik hotel berkenaan untuk meningkatkan keterlihatan jenama serta merapatkan hubungan dengan pelanggan dan rakan strategik.
“Newsletter ini bukan sekadar medium maklumat tetapi satu jambatan yang menghubungkan PB Hotel dengan pelanggan dan rakan strategik. Kami mahu mereka merasai hubungan yang lebih personal dengan jenama PB Hotel,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu yang disempurnakan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PB Hotel, Ahmad Shah Muhamed, di sini semalam.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Shah berkata, inisiatif penerbitan buletin itu akan memberi nilai tambah besar kepada PB Hotel khususnya dari sudut memperkasa komunikasi dan membina jaringan lebih luas dengan pihak berkepentingan.
“Selain menyampaikan promosi dan pencapaian, ia berperanan menyebarkan mesej mengenai inisiatif CSR yang dilaksanakan PB Hotel kepada masyarakat. Saya percaya langkah ini mengukuhkan lagi kedudukan PB Hotel sebagai hotel patuh syariah atau Muslim Friendly di bandar Kuala Terengganu yang menawarkan hospitaliti terbaik,” katanya.-UTUSAN










