Enam tahun kerja barista, lukis baju - Sky Iskandar - Utusan Malaysia

Enam tahun kerja barista, lukis baju – Sky Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan karakter Megat dalam filem Kahar: Kapla High Council, nama Sky Iskandar terus mendaki tangga populariti membintangi beberapa projek rating tinggi seperti Tarung dengan kutipan RM23 juta dan Good Boys Go To Heaven, lebih 58 juta tontonan.

Tidak seperti pelakon seangkatannya, Sky atau Hadi Iskandar bin Mohd Rashidan, 32, bukan lahir daripada program realiti televisyen atau pencarian bakat, sebaliknya hanya ‘rezeki terpijak’ menjadi anak seni.

Sky menempuh perjalanan panjang sebelum bergelar pelakon. Bermula sebagai barista selama enam tahun, kru belakang tabir dan pelukis di bawah Bernard Chandran, lelaki asal Selangor ini tidak pernah terfikir akan berada di depan kamera apalagi wajahnya ditonton di layar lebar. 

“Memang saya ada terfikir untuk masuk program Hero Remaja. Tapi waktu itu umur saya sudah 27 tahun, sudah tua.

“Saya jadi model dulu, waktu itu sambil berlakon dalam filem pendek kawan-kawan untuk tolong mereka. Ada berlakon dalam pertandingan The BMW Shorties dan dapat tawaran berlakon sikit-sikit.

“Kalau naskhah arus perdana pertama, sayai berlakon cerita dalam Sorry Naik Lori tapi watak kecil sahaja. Kemudian saya jumpa dan kenal Nadhir Nasar, dia mahu saya berlakon dalam muzik video kawannya, Malam Pagi dan saya boleh kata itu detik yang merubah segalanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini. 

Bukan sombong, tidak pandai luahkan dengan kata-kata

Tidak dinafikan, personaliti yang tidak banyak bercakap adakalanya membuatkan dirinya dicop sombong. Namun, kongsi Sky, dia merupakan seorang lelaki yang tidak pandai meluahkan isi hati dengan kata-kata.

“Sebab itu saya melukis sebab hanya melalui seni saya boleh tunjukkan apa dalam hati. Lukis dan mewarna ini saya buat sejak kecil, paling aktif bila bekerja sebagai pelukis bersama Bernard Chandran dahulu. 

“Bukan reka baju ya, saya hanya bantu buat lakaran sahaja. Setahun saya di situ membantunya, balik kerja pun akan sambung melukis. Sekarang boleh dikatakan saya ada koleksi lukisan sepanjang tujuh tahun melukis kebanyakannya abstrak dan lukisan figura. Lebih kurang dalam 100 lukisan.

“Dalam lukisan, subjek seni saya ada beberapa, iaitu kaligrafi (stail saya sendiri), abstrak, dan kajian figura. Ada juga yang saya gabungkan sekali ketiga-tiganya,”  katanya.

Dalam pada itu, Sky berkata, selepas melalui kerja penggambaran yang panjang, dia akan banyak ‘mengunci’ diri dalam studio. Dia gemar duduk bersendirian dan melukis yang dianggap sebagai salah satu cara untuk mengembalikan semula tenaga ke dalam diri.

“Bulan sebelas tahun lalu memang saya sangat sibuk. Habis sahaja penggambaran, saya habiskan masa sepenuhnya untuk melukis. Kalau ada rezeki teringin juga kumpulkan dan terbit jadi buku,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN