WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan, sekali gus membuka jalan kepada peningkatan pelaburan dan perdagangan antarabangsa di negara itu.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata beliau memaklumkan Kongres mengenai keputusan yang dijangka berkuat kuasa dalam tempoh 45 hari, kecuali jika badan perundangan itu mengambil langkah untuk menghalangnya.
Pengumuman itu dibuat ketika Presiden AS, Donald Trump, mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turkiye.
Al-Sharaa, yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan jihadis, kini berusaha menampilkan imej sebagai pemimpin yang mahu menyatukan Syria susulan kejatuhan pemerintahan keluarga Assad pada 2024 selepas lebih 50 tahun memerintah negara itu.
Rubio menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu lagi langkah penting pentadbiran Trump dalam memberi peluang kepada rakyat Syria membina semula negara mereka.
Beliau berkata, penarikan status itu akan membuka laluan kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa, sekali gus membantu usaha pembinaan semula Syria serta mewujudkan lembaran baharu bagi rakyat negara berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan Trump itu dibuat meskipun Israel masih menyuarakan kebimbangan terhadap kepimpinan Al-Sharaa dan terus melancarkan serangan udara ke atas Syria, yang dianggap antara musuh tradisinya.
Trump sebelum ini secara terbuka menggesa Syria menjalinkan hubungan damai dengan Israel, namun tetap meneruskan keputusan menarik balik status negara penaja keganasan itu meskipun belum terdapat sebarang kemajuan ketara ke arah berkenaan.
Dalam kenyataannya, Rubio berkata sebuah Syria yang stabil, bersatu dan hidup aman dengan rakyat serta negara jirannya bukan sahaja memberi manfaat kepada rantau itu, malah kepada seluruh dunia.
Setahun lalu, Trump mula melonggarkan sebahagian besar sekatan terhadap Syria selepas Turkiye dan Arab Saudi menggesanya mengadakan pertemuan dengan Al-Sharaa.
Ketika bertemu bekas pejuang itu, yang kini memegang jawatan Presiden Syria, di Ankara, Trump memuji usaha Al-Sharaa dalam menyatukan negara berkenaan.
“Beliau melakukan tugas yang luar biasa dalam menyatukan Syria,” kata Trump.
Menurut Trump, Syria berada dalam keadaan huru-hara akibat pentadbiran kerajaan terdahulu. AS menyenaraikan Syria sebagai negara penaja keganasan sejak 1979.
Status itu mewujudkan risiko perundangan kepada syarikat yang menjalankan perniagaan di Syria, khususnya syarikat dari AS atau syarikat asing yang mempunyai urus niaga melibatkan ekonomi terbesar dunia itu.- AFP










