PETALING JAYA: Cadangan penggantungan atau pemecatan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sukar direalisasikan disebabkan sistem undian dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, proses untuk mencapai perkara ini rumit disebabkan prosedur yang perlu dilalui serta keseimbangan kuasa dalam kalangan negara anggota PBB.
“PBB pun tidak boleh buang atau gantung Israel kerana ia perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan.
“Seperti yang kita tahu, ahli tetap seperti Amerika Syarikat (AS) mempunyai kuasa veto yang boleh menyekat sebarang resolusi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keanggotaan Israel di PBB perlu digantung atau dibuang segera susulan tidak menghormati gencatan senjata ke atas Gaza.
Menurut Artikel 6 Piagam PBB, Majlis Keselamatan PBB bertanggungjawab mencadangkan kepada Perhimpunan Agung PBB agar mana-mana negara yang secara berterusan melanggar prinsip-prinsip PBB disingkirkan keanggotaannya.
Menurut Syed Hamid, sesebuah negara hanya boleh disingkirkan daripada PBB jika Majlis Keselamatan mencadangkan tindakan itu terlebih dahulu dan cadangan itu disokong majoriti dua pertiga negara anggota dalam Perhimpunan Agung.
Katanya, lima anggota tetap dalam Majlis Keselamatan iaitu AS, United Kingdom, Perancis, China dan Russia mempunyai kuasa veto dan cadangan gagal serta-merta jika salah sebuah negara membantah.
Syed Hamid ditanya sama ada blok ASEAN mampu memainkan peranan termasuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, beliau berkata, ketiadaan pendirian bersama dalam kalangan blok berkenaan menyebabkan ia sesuatu yang sukar.-UTUSAN










