SHAH ALAM: “Bila saya sedar, saya di atas katil… kaki saya dah tiada.”
Itulah detik hitam yang tidak pernah dilupakan Malik Faisal Man, 43, selepas terlibat kemalangan jalan raya yang menyebabkan kehidupannya berubah 100 peratus.
Beliau yang bertugas sebagai Penolong Pengurus Perhotelan hilang kaki kiri dari bawah lutut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu individu disyaki mabuk.
Kejadian pada 28 Julai 2024 itu berlaku pada awal pagi, ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah hotel di Petaling Jaya.
“Masa itu saya nak ke tempat kerja, bertolak dari rumah dalam pukul 6.15 pagi. Dalam perjalanan, lebih kurang pukul 6.30 pagi, satu kenderaan telah melanggar motor saya.
“Selepas saya sedar, saya di atas katil dan rasa sakit. Bila saya tengok, kaki saya dah tiada. Masa itu saya betul-betul tidak boleh terima,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Beliau juga mengalami beberapa kecederaan lain pada bahagian kiri termasuk hilang pendengaran selain hampir kehilangan tangan kiri, namun anggota itu dapat diselamatkan melalui pembedahan.
Pada peringkat awal, beliau sukar menerima keadaan itu dan bertindak mengasingkan diri daripada orang sekeliling kerana berasa malu dan rendah diri.
Namun, dengan bantuan yang disalurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pencarumnya, Malik Faisal kembali peroleh sinar harapan yang dirasakan hilang selepas kemalangan tragis itu.
“Sebelum ini memang saya banyak menyendiri. Isteri ajak keluar makan pun saya tolak sebab tidak mahu berjumpa dengan orang. Saya rasa macam orang pandang saya bukan normal.
“Bila Perkeso kata nak bagi kaki palsu, saya betul-betul berbesar hati dan gembira. Tapi saya kena kuatkan diri dari segi fizikal sebab kalau kita tidak kuat, kaki palsu pun tiada guna.” katanya.
Dalam padaitu, beliau yang mempunyai isteri dan tiga orang anak berkata, selain dirinya, kemalangan itu turut memberi kesan emosi mendalam kepada isterinya yang menjadi antara orang terawal tiba di lokasi kejadian.
Sehingga kini, perkara itu masih menyebabkan isterinya trauma sehingga perlu mendapatkan rawatan psikiatri dan bergantung kepada ubat selepas disahkan mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).
“Isteri saya masih mengalami trauma. Dia pergi ke tempat saya kemalangan lepas dapat panggilan daripada orang awam. Sampai sekarang kalau lalu jalan itu, dia akan teringat kejadian sampai tidak boleh tidur dan mimpi saya mati.
“Anak-anak pun terkesan. Anak sulung saya dulu sedih bila tengok kaki saya tiada, tapi sekarang dah boleh terima. Anak bongsu saya masa umur lima tahun tanya ‘Daddy, where’s your leg?’, saya jawab kaki Daddy orang ‘pinjam’,” katanya sambil tersenyum.
Malik Faisal antara 10 individu terpilih menyertai projek Hati Mulia sempena Merdeka anjuran Media Mulia, yang mengetengahkan kisah rakyat bangkit selepas berdepan kecederaan atau kehilangan keupayaan.
Kisah peserta akan diterbitkan untuk undian terbuka pembaca, dengan pemenang menerima hadiah RM2,000, selain RM500 kepada semua peserta terpilih.
Beliau yang menjalani pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP) Melaka itu menerima rawatan termasuk latihan fisioterapi, senaman kekuatan otot dan kaunseling motivasi selama beberapa bulan.
Kaki palsu pula diterima selepas tiga minggu memulakan rawatan, sebelum menjalani proses penyesuaian yang mengambil masa kira-kira tiga bulan.
Berkat semangat tanpa henti, Malik Faisal berjaya kembali bekerja pada 26 Mei lalu dan mula menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun masih dalam proses menyesuaikan diri.
“Sebelum ini saya risau mungkin akan diberhentikan kerja, tapi bila jumpa majikan, dia kata teruskan rawatan sampai pulih. Kata-kata itu yang buat saya gembira.
“Alhamdulillah selepas saya masuk ke bidang pekerjaan saya, mereka sambut saya dengan begitu ramah dan baik. Kembalinya saya ke tempat kerja itu ibarat kembalinya seseorang bernama Malik Faisal yang sebelum inilah,” katanya.
Beliau turut berpesan agar mereka yang berdepan kecederaan atau kehilangan anggota tidak mudah berputus asa, sebaliknya mencari sokongan agar dapat mengembalikan semangat untuk terus bangkit.
Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.
Tonton dan sokong kisah pilihan anda.