PERANCANGAN kewangan untuk hari tua semakin mendapat perhatian dalam kalangan generasi muda, khususnya apabila kos sara hidup dan inflasi terus meningkat saban tahun.
Walaupun kesedaran tentang kepentingan simpanan persaraan semakin meluas, realitinya ramai dalam kalangan golongan muda masih bergelut untuk mengimbangi keperluan semasa dengan keperluan masa depan.
Bagi Aiman Lokman, 27, tekanan kos sara hidup semasa menjadikan usaha untuk menyimpan bagi persaraan sebagai satu cabaran yang berterusan.
Katanya, sebahagian besar pendapatan hari ini digunakan untuk memenuhi komitmen bulanan seperti sewa, perbelanjaan asas dan kos perkhidmatan.
“Dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, sebahagian besar pendapatan habis untuk komitmen bulanan.
“Bila baki semakin kecil, simpanan selalunya menjadi perkara terakhir yang diberi keutamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada usia muda, pemahaman terhadap peranan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam perancangan jangka panjang sering kali bermula secara terhad.
Menurutnya, ramai melihat caruman KWSP sekadar potongan wajib dalam slip gaji, bukan sebagai asas utama persaraan.
“Namun apabila difahami, KWSP sebenarnya berfungsi sebagai dana asas dengan simpanan berstruktur dan dividen konsisten untuk jangka panjang.
“Walaupun begitu, saya tidak melihat wajar untuk bergantung sepenuhnya kepadanya kerana faktor seperti inflasi dan kos perubatan yang meningkat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Aiman berkata, beliau memilih untuk mempelbagaikan simpanan melalui pelaburan unit amanah sebagai langkah melindungi nilai wang dalam jangka panjang.
Baginya, KWSP berperanan sebagai perlindungan asas, manakala pelaburan pula menjadi instrumen pertumbuhan untuk memastikan nilai simpanan tidak terhakis akibat inflasi.
Tambah beliau, kesedaran untuk merancang awal turut dipengaruhi pengalaman keluarga yang terpaksa terus bekerja pada usia lanjut akibat ketiadaan simpanan mencukupi.
“Saya sedar tanpa perancangan awal dan simpanan konsisten, pilihan di usia tua menjadi sangat terhad.
“Sebab itu saya memilih untuk mula melabur lebih awal supaya ada asas kewangan yang kukuh apabila tiba waktu persaraan nanti,” katanya.
Sementara itu, pandangan hampir sama turut dikongsi oleh Damil Aidil, 27, yang melihat cabaran utama generasi muda bukan semata-mata jumlah pendapatan, tetapi cara pengurusan aliran tunai dan disiplin simpanan.
Katanya, dalam keadaan inflasi berterusan, simpanan persaraan tidak boleh lagi dilihat sebagai baki wang selepas perbelanjaan, sebaliknya perlu dijadikan komitmen tetap.
“Kalau kita tunggu duit lebih, selalunya memang tidak akan ada lebihan.
“Simpanan persaraan perlu dilihat sebagai komitmen tetap sama seperti membayar bil,” katanya.
Beliau turut melihat KWSP sebagai asas penting dalam perancangan kewangan, namun tidak mencukupi sekiranya bergantung sepenuhnya kepada caruman wajib semata-mata.
Menurutnya, jangka hayat yang semakin panjang serta kos perubatan yang meningkat menuntut sumber tambahan seperti pelaburan jangka panjang dan skim persaraan swasta.
Damil berkata, beliau memilih untuk mula melabur sejak awal walaupun dengan jumlah kecil, memandangkan masa merupakan aset terbesar dalam membina dana persaraan.
“Lebih baik mula kecil tetapi konsisten, berbanding tunggu jumlah besar tetapi tidak bermula langsung.
“Lebih awal bermula, lebih besar kesan pertumbuhan berganda apabila pulangan pelaburan terus berkembang dalam jangka panjang,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan memisahkan dana kecemasan daripada simpanan persaraan bagi mengelakkan keperluan mendesak menjejaskan perancangan jangka panjang.
“Perancangan kewangan yang sihat perlu ada tiga lapisan iaitu dana kecemasan, perlindungan takaful atau insurans dan pelaburan jangka panjang,” katanya.
Mengulas cabaran utama, katanya, pendedahan terhadap kepentingan perancangan persaraan adalah penting. – UTUSAN










