PETALING JAYA: Qabil Irfan Azlan mencipta sensasi apabila pelumba remaja negara berbakat besar itu mengakhiri kemarau podium pada perlumbaan 2 Moto4 Piala Asia di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.
Pelumba berusia 14 tahun itu yang melakukan kemunculan sulung pada kejuaraan yang dulunya dikenali sebagai Asia Talent Cup (ATC) sebelum dijenamakan semula, musim ini, muncul naib juara dengan catatan masa 26 minit 56.174 saat (s).
Kali terakhir wakil Malaysia mencatat keputusan podium pada kejuaraan tersebut adalah menerusi pelumba Moto3, Hakim Danish Ramli bagi musim 2022 dan selepas empat tahun, akhirnya Qabil berjaya menamatkan kemarau itu.
Pelumba Jepun, Hayato Chishiki sekali lagi membuktikan dia merupakan pesaing yang perlu diawasi Qabil apabila menjuarai kedua-dua perlumbaan pusingan pertama dan dia mencipta masa terpantas 26:53.974s dalam perlumbaan 2.
Qabil yang memulakan saingan dari petak kedua, berjaya menokok 20 mata daripada perlumbaan 2 dan sewaktu perlumbaan 1, kelmarin, dia melengkapkan aksinya di tangga keenam bagi mengutip 10 mata.
Juara ESBK Talent Cup di Kejuaraan Superbike, Sepanyol, musim lalu itu, kini menghuni kedudukan ketiga keseluruhan selepas mengumpul 30 mata daripada dua perlumbaan pusingan pertama di Buriram.
Anak jati Terengganu itu ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir berkata, dia masih baru dalam perlumbaan Moto4 Piala Asia dan memerlukan masa bagi mengenal pesaingnya.
“Bagi saya perlumbaan di Buriram ini lebih kepada proses menyesuaikan diri dengan selok-belok perlumbaan Moto4 Piala Asia kerana ini penyertaan pertama saya.
“Semasa perlumbaan 1, saya tengok dulu pelumba lain pacu jentera masing-masing dan saya cuba untuk berikan tentangan, tetapi saya berakhir dengan kedudukan keenam,” katanya yang akan turut beraksi pada Moto4 Piala Eropah bersama pasukan MLav.
Bagaimanapun, dalam perlumbaan 2, semalam, Qabil mengakui dia lebih sedar dengan persekitarannya dan berusaha untuk mengekalkan kedudukan kedua sejak awal saingan hingga perlumbaan tamat.
“Banyak yang saya belajar di sini dan saya gembira dapat juga menaiki podium,” katanya yang akan beraksi di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar untuk pusingan kedua 10-12 April ini.
Dua lagi pelumba Malaysia, Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi dan Qayyim Razin Razali yang beraksi hambar pada perlumbaan 1, memperbaiki keputusan masing-masing dalam perlumbaan 2 di tempat ke-12 (4 mata) dan ke-16.-UTUSAN











