Iran ikrar balas dendam

Iran ikrar balas dendam

RAKYAT Iran meratapi kematian Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel di sebuah dataran di Teheran, Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam sera­ngan udara yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) kelmarin dijangka meningkatkan lagi konflik dan kete­gangan di Asia Barat.

Serangan itu mencetuskan reaksi pantas Teheran apabila Iran berikrar mahu mengambil tindakan balas terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kematian pemimpin berkenaan.

Presiden Iran, Masoud Pe­zesh­kian berkata, tindakan se­timpal akan dilaksanakan segera dan menegaskan darah pemim­pin tertinggi negara itu menjadi pemangkin mereka untuk menentang segala kezaliman AS dan Israel di rantau berkenaan.

Amaran keras itu dikeluarkan ketika ketegangan terus memuncak susulan siri sera­ngan berterusan oleh tentera AS dan Israel ke atas beberapa lokasi strategik di Iran termasuk meragut nyawa 148 kanak-kanak apabila sebuah sekolah turut dibedil.

Masoud menegaskan, insi­den tersebut tidak akan dibiar­kan tanpa pembalasan dan me­nyifatkannya sebagai titik pe­rubahan besar dalam landskap politik dunia.

Terdahulu, media Iran melaporkan, kematian pemimpin berusia 86 tahun itu susulan siri serangan besar-besaran yang menyasarkan infrastruktur ketenteraan dan kepimpinan tertinggi negara tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang lebih besar.

Katanya, Iran, AS dan Israel digesa menghentikan segala bentuk tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta kembali ke landasan diplomasi bagi mengelakkan krisis lebih besar.

Beliau berkata, situasi semasa yang tercetus susulan serangan udara terhadap Iran kini meletakkan rantau itu dalam keadaan genting dan berisiko mencetuskan ketidaktentuan lebih luas.

“Sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengumumkan pelancaran serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan wilayah yang diduduki Israel sebagai tindak balas terhadap pencerobohan dan kematian pemimpin mereka.

Malah mereka juga melancarkan serangan balas besar‑besaran yang menyasarkan beberapa pangkalan ketenteraan AS di Asia Barat, termasuk markas besar Armada Ke‑5 Tentera Laut AS di Bahrain dalam tindak balas kepada serangan udara bersama AS dan Israel.

“Tangan pembalasan rakyat Iran bagi menjatuhkan hukuman berat, tegas dan setimpal terhadap pembunuh Imam tidak akan berhenti mengejar mereka,” menurut kenyataan Kor Pengawal Revolusi Iran.

Dalam maklum segera, Presiden AS, Donald Trump memberi amaran negaranya akan melancarkan serangan menggunakan kekuatan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini sekiranya Iran bertindak balas terhadap serangan AS dan Israel.

“Iran baru sahaja menyatakan mereka akan menyerang dengan sangat kuat hari ini, lebih kuat daripada sebelumnya.

“Mereka tidak sepatutnya melakukannya kerana jika itu berlaku, kami akan menyerang mereka dengan kekuatan yang tidak pernah dilihat sebelum ini!” katanya.

Kematian Khamenei yang memegang jawatan Pemimpin Tertinggi sejak 1989 dan merupakan tokoh paling berkuasa dalam struktur politik serta ketenteraan Iran dijangka memberi kesan besar ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Sebagai tanda penghormatan, kerajaan Iran mengumumkan tujuh hari cuti umum dan tempoh berkabung selama 40 hari di seluruh negara bagi membolehkan rakyat memperingati kepemimpinan Khamenei.

Situasi berkenaan kini terus diperhatikan komuniti antarabangsa susulan ketegasan Iran untuk mempertahankan kedaulatan dan prinsip negaranya di tengah-tengah krisis yang semakin meruncing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×