Beri makan kepada monyet undang bahaya pengguna JRTB

Beri makan kepada monyet undang bahaya pengguna JRTB

KUMPULAN monyet mengutip makanan dipercayai diletakkan oleh pengguna laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pengalaman mengelak monyet yang tiba-tiba melintasi jalan raya merupakan antara detik cemas pernah dihadapi pengguna jalan raya ketika melalui Pulau Banding di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini.

Ruslan Zakaria, 52, berkata, dia berdepan keadaan itu di satu lokasi jalan lurus utama  yang kerap menjadi tumpuan manusia memberikan makanan kepada monyet.

Katanya, tindakan itu berisiko mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain disebabkan monyet sentiasa memenuhi bahu jalan dan kadangkala berada di laluan utama.

“Keadaan ini membahayakan orang ramai malah ada yang hampir terbabas akibat perbuatan ini. Bukan nyawa manusia sahaja boleh melayang malah boleh menyebabkan monyet ini mati dilanggar. Ini amat menyedihkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi pemandu lori yang mahu dikenali sebagai Faizal, 44, pula berkata, kemunculan monyet itu turut mengganggu tumpuan pemandu.

“Pemandu sering teragak-agak kerana risau haiwan itu melintas secara tiba-tiba dan khuatir dihentam oleh kenderaan di belakang yang laju,” katanya.

Semasa tinjauan di kawasan itu baru-baru ini, mendapati pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan mereka untuk mencampakkan makanan kepada haiwan tersebut.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan memberi makanan itu bukan sahaja membahayakan pengguna jalan, malah mampu mengubah tabiat semula jadi haiwan liar.

“Di sesetengah lokasi, haiwan ini muncul kerana percaya terdapat makanan disedikan dan diberikan oleh manusia,” katanya.

Beliau juga menegur sikap segelintir orang ramai termasuk di JRTB yang meninggalkan buah-buahan di tepi jalan untuk dimakan haiwan liar se­perti gajah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN