90,000 NGO seleweng dana boleh dibatal pendaftaran

90,000 NGO seleweng dana boleh dibatal pendaftaran

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 90,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh dibatal pendaftarannya jika didapati menyeleweng kutipan derma daripada orang ramai termasuk melalui platform media sosial.

Tindakan itu tertakluk di bahawa Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan kuasa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) termasuk membatalkan atau menggantung operasi NGO yang melanggar undang-undang ditetapkan.

Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pertubuhan yang menyeleweng kutipan derma orang ramai.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas RoS menerima aduan dan maklumat bahawa sesuatu pertubuhan itu dikesan menyalahguna hasil sumbangan awam.

“Hal ini kerana setiap pertubuhan bertanggungjawab untuk memastikan segala penerimaan dan perbelanjaan direkodkan dengan teratur serta diurus dan dibelanjakan secara telus selaras dengan objektif penubuhan pertubuhan dan keputusan yang dipersetujui oleh ahli melalui mekanisme tadbir urus ditetapkan.

“Namun sekiranya hasil pemeriksaan atau siasatan mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang dan peraturan, RoS boleh mengambil tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Bagi kes melibatkan unsur kesalahan jenayah seperti penipuan, pecah amanah atau penyalahgunaan dana, perkara tersebut dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Isnin lalu, akhbar ini melaporkan sesetengah NGO menjadikan media sosial sebagai lubuk untuk mereka me­ngu­tip derma daripada orang ramai. 

Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Yuhafiz Mohd. Salleh berkata, ketiadaan undang-undang khusus me­ngawal selia pertubuhan juga mem­burukkan lagi keadaan dan menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa. 

Katanya, Malaysia ma­sih belum mempunyai satu akta khusus yang mengawal selia penubuhan serta operasi NGO atau organisasi bukan ber­orientasikan keuntungan (NPO). 

Dalam pada itu, Mohd. Zulfikar berkata, pihaknya telah menerima 23 aduan salah laku berhubung aktiviti kutipan derma oleh pertubuhan dengan empat aduan masih dalam siasatan manakala 19 lagi telah selesai dan tindakan sewajarnya diambil. 

Katanya, setiap siasatan aduan yang diterima dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan setiap kes diuruskan secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang. 

Mohd. Zulfikar berkata, RoS baru-baru ini telah menerima aduan membabitkan sebuah NGO yang disyaki menyalahgunakan kutipan derma menerusi media sosial.

“RoS telah meneliti maklumat yang diterima dan mengambil tindakan awal dengan mengeluarkan surat peringatan kepada pertubuhan berkenaan supaya memastikan pengurusan kewangan serta pelaksanaan aktiviti dilaksanakan mematuhi semua peruntukan undang-undang.

“Kami terus memantau perkara ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lanjut sekiranya terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang atau syarat pendaftaran pertubuhan,” katanya

Mengulas lanjut, beliau berkata, NGO yang menjadikan platform media sosial sebagai medium utama mengutip derma kini berada dalam radar RoS bagi memastikan aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan pematuhan undang-undang sentiasa dipatuhi. 

Katanya, pihaknya berkuasa membuat semakan terhadap rekod pentadbiran dan kewangan pertubuhan bagi memastikan pengurusan dana serta pentadbiran pertubuhan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan perlembagaan pertubuhan.

“Oleh itu, setiap pertubuhan bertanggungjawab memastikan segala kutipan dana diurus secara berhemat, direkodkan dengan teratur serta dibelanjakan secara berintegriti selaras dengan matlamat penubuhannya dan tatacara pengurusan kewangan yang diperuntukkan.

“Ia juga perlu mematuhi undang-undang lain termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Kanun Acara Jenayah serta undang-undang bertulis lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN