Bursa Malaysia dijangka terus uji paras 1,700 mata - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dijangka terus uji paras 1,700 mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka terus menguji paras psikologi 1,700 mata dalam tempoh terdekat, namun momentum kenaikan itu masih bergantung kepada perkembangan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) serta aliran dana asing ke pasaran tempatan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd.,  Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, buat masa ini jangkaan terhadap keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) berhubung kadar faedah kekal menjadi pemacu utama sentimen pasaran saham global.

Katanya, sebarang kenaikan kadar faedah berpotensi meningkatkan kos pembiayaan syarikat, sekali gus mengurangkan aktiviti pelaburan dan perbelanjaan modal korporat.

“Bagaimanapun, perkembangan di pasaran tenaga dilihat semakin positif apabila harga minyak mentah kembali ke paras sebelum tercetusnya konflik Iran pada 28 Februari lalu.

“Keadaan itu didorong oleh rundingan damai yang sedang berlangsung antara AS dan Iran serta pembukaan semula Selat Hormuz kepada laluan kapal dagang, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, tumpuan pelabur kini beralih kepada keputusan Fed selepas data pasaran buruh AS menunjukkan tanda-tanda kelembapan.

“Data Nonfarm Payrolls (NFP) bagi Jun merekodkan hanya 57,000 pekerjaan baharu, jauh lebih rendah berbanding jangkaan pasaran sebanyak 114,000 pekerjaan.

“Perkembangan itu mencetuskan jangkaan bahawa Fed mungkin menangguhkan kenaikan kadar faedah sekiranya kelembapan pasaran buruh berterusan.

Bagaimanapun, pasaran saham tempatan masih berdepan tekanan susulan aliran keluar dana asing yang berterusan,” katanya.

Mohd. Afzanizam berkata, sepanjang Jun lalu, pelabur asing merekodkan jualan bersih sebanyak RM2.4 bilion, manakala semalam aliran keluar dana asing berjumlah RM145 juta.

“Tanpa penyertaan aktif pelabur asing, FBM KLCI dijangka sukar menembusi paras 1,700 mata dalam tempoh terdekat,” katanya.

Namun, katanya, prestasi pasaran saham Malaysia tidak seharusnya dinilai berdasarkan pergerakan FBM KLCI semata-mata kerana beberapa sektor terus menunjukkan prestasi kukuh.

Sejak awal tahun hingga semalam, Indeks FBM Teknologi melonjak 32.8 peratus, diikuti Indeks FBM Perladangan yang meningkat 6.8 peratus.

Dalam tempoh sama,FBM Produk dan Perkhidmatan Perindustrian dan Indeks FBM Hartanah masing-masing mencatatkan kenaikan 3.4 peratus serta 3.0 peratus.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan pelabur kini lebih selektif dalam membuat pelaburan dengan memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai prospek pendapatan dan keuntungan lebih kukuh.

“Sektor teknologi terus menjadi peneraju berikutan permintaan tinggi terhadap mikrocip yang didorong oleh pelaburan global dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data (DC), sekali gus memberi manfaat kepada syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, bursa ketika ini dilihat lebih didorong oleh aktiviti belian jangka pendek berbanding perubahan ketara dalam asas ekonomi, dengan sentimen global yang masih tidak menentu terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi hala tuju pasaran.

Katanya, peningkatan semasa berlaku apabila pelabur, khususnya pelabur runcit, mengambil peluang meraih keuntungan selepas beberapa minggu pasaran saham tempatan mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan. 

“Selain itu, kaunter-kaunter yang mengalami kejatuhan ketara pada minggu lalu kembali menjadi tumpuan pembelian, sekali gus menyokong kenaikan indeks dalam jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata, prestasi pasaran saham Amerika Syarikat (Wall Street) serta bursa serantau, terutama Singapura, terus memainkan peranan penting dalam menentukan sentimen pelabur terhadap Bursa Malaysia.

“Wall Street dan bursa serantau mempunyai hubungan yang signifikan dengan Bursa Malaysia. Pergerakan pasaran ini sering menjadi petunjuk utama kepada pelabur asing dalam membuat keputusan untuk melabur di pasaran tempatan,” katanya.

Mengulas mengenai aliran keluar dana asing yang berterusan, beliau berkata, keadaan itu memberi kesan negatif kepada pasaran saham tempatan memandangkan pelabur institusi domestik masih banyak bergantung kepada penyertaan pelabur asing.

Katanya, dari sudut ekonomi, prestasi pasaran ekuiti turut menjadi salah satu indikator yang diperhatikan oleh pelabur luar bagi menilai kedudukan ekonomi sesebuah negara.

“Prestasi pasaran saham sering dilihat sebagai petunjuk mudah terhadap kekuatan ekonomi. Apabila pasaran saham menunjukkan prestasi yang baik, ia secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Rizal berkata, pengukuhan FBM KLCI ketika ini masih bersifat sementara walaupun indeks mencatatkan kenaikan sekitar 13 mata pada dagangan pagi.

Menurutnya, ketidaktentuan geopolitik, khususnya konflik di Timur Tengah yang masih belum menemui penyelesaian, terus membataskan keyakinan pelabur untuk membuat pelaburan berskala besar bagi tempoh jangka panjang.

“Masih terdapat beberapa faktor risiko yang belum reda dan ini menyebabkan pelabur lebih berhati-hati. Justeru, saya melihat ruang kenaikan indeks dalam tempoh terdekat masih terhad,” katanya.

Beliau berkata, FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,670 hingga 1,690 mata pada minggu hadapan, dengan pergerakan pasaran dijangka terus dipengaruhi oleh perkembangan global serta sentimen pelabur asing. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN