Pengalaman dorong Madiha bangunkan aplikasi atasi murung

Pengalaman dorong Madiha bangunkan aplikasi atasi murung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aplikasi yang dibangunkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PlusVibes, Dr. Madiha Fuad, 35, berjaya membantu hampir 100,000 individu yang berdepan kemurungan dan tekanan emosi.

Aplikasi Dr. Madiha bantu 100,000 individu murung

Lebih sedekad lalu, beliau pernah menyimpan impian untuk bergelar usahawan tanpa mengetahui bidang yang ingin diterokai.

Namun, perjalanan hidup membawa Dr. Madiha Fuad, 35, ke satu arah yang tidak disangka apabila muncul sebagai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PlusVibes.

PlusVibes merupakan sebuah platform digital yang memberi sokongan kesihatan mental kepada masyarakat.

Sejak diasaskan pada 2020, aplikasi berkenaan telah membantu hampir 100,000 individu yang berdepan kemurungan dan tekanan emosi.

Malah, seramai 5,000 individu termasuk seawal usia 12 tahun berjaya diselamatkan daripada cubaan mencederakan diri sendiri.

Katanya, idea untuk membangunkan aplikasi itu tercetus daripada pengalaman lalu apabila beliau sendiri pernah berdepan dengan masalah kesihatan mental selepas tubuhnya separa lumpuh.

Ia sekali gus membuka kesedarannya untuk membantu orang lain yang melalui situasi sama.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali berdepan tragedi atau ujian getir dalam kehidupan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sekelip mata dunia saya berubah bila saraf bahu terganggu sehingga tidak boleh menggerakkan tangan.

“Sejak itu saya mengalami kemurungan dan hampir 10 kali dalam sebulan saya terpaksa berulang-alik ke jabatan kecemasan hospital.

“Apabila serangan itu berlaku, tubuh menjadi kejang, hidung berair dan saya hilang kawalan diri,” katanya kepada Seri.

Madiha sedar ramai melalui nasib sepertinya, namun berasa malu, tidak yakin dan buntu untuk tampil mendapatkan bantuan.

Justeru, dengan kewujudan aplikasi itu sekurang-kurangnya dapat memberikan sokongan moral dan motivasi kepada golongan murung.

Paling penting, ia dapat mencegah keadaan kemurungan menjadi lebih teruk hingga mendorong seseorang bertindak di luar kawalan.

“Setiap orang akan melalui detik sukar pertama dalam hidup, sama ada perceraian, kehilangan kerja, masalah kewangan mahupun ditimpa penyakit.

“Apa sahaja dugaan yang datang, ia tetap perlu dihadapi dan tanamkan motivasi untuk sembuh,” katanya yang mengambil masa setahun untuk pulih.

PlusVibes merupakan aplikasi kesihatan mental yang menyediakan akses sokongan emosi melalui chat selama 24 jam dan tujuh hari seminggu.

Ia turut dilengkapi ciri on-demand chat yang membolehkan pengguna mendapatkan sokongan segera tanpa perlu membuat janji temu, sekali gus memberikan pengalaman yang hampir menyamai sesi bersama ahli terapi secara bersemuka.

Jangan pendam masalah

Masalah kesihatan mental sering bermula apabila seseorang memendam perasaan dan tidak meluahkan apa yang terbuku di hati.

Madiha berkata, daripada 100,000 pengguna aplikasi itu, sebahagian besar merupakan wanita kerana golongan ini cenderung untuk menyembunyikan masalah mereka.

“Berdasarkan bengkel yang saya kendalikan, kebanyakan mereka yang memendam perasaan tidak tahu ke mana hendak mendapatkan sokongan.

“Apabila emosi dipendam terlalu lama, tanpa disedari ia boleh memberi kesan kepada keseimbangan hormon, sekali gus menyebabkan seseorang mengalami tekanan dan meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan.

“Sebenarnya terdapat banyak saluran untuk mendapatkan bantuan seperti menulis jurnal, berdoa, meluahkan perasaan kepada seseorang, bersukan atau mendapatkan sokongan melalui aplikasi seperti PlusVibes,” katanya.

Katanya, aplikasi itu memiliki kira-kira 300 pendengar profesional, bertauliah dan berkelayakan tinggi yang boleh dipercayai.

Bahkan, ia turut mengandungi pelbagai artikel, video dan aktiviti bagi panduan pengguna.

Sertai lebih 1000 persidangan, ceramah

Selain bergelar usahawan, Madiha turut aktif sebagai penceramah dalam pelbagai persidangan dan seminar berkaitan kesihatan mental.

Penglibatannya bukan sahaja tertumpu di Malaysia, malah turut melangkaui peringkat global.

Sehingga kini, beliau telah menyertai lebih 1,000 persidangan dan ceramah.

“Dahulu saya seorang yang introvert dan tidak pernah terbayang akan bercakap di hadapan orang ramai.

“Saya cuba atasi rasa gugup dan takut dengan berlatih bercakap di depan cermin, menghafal skrip di samping memperbanyakkan bacaan.

“Langkah awal saya bermula dengan bercakap di media sosial dan lama-kelamaan saya dapat membina keyakinan itu,” katanya.

Fasih lima bahasa

Pengalaman membesar di luar negara selama hampir dua dekad membolehkan Madiha fasih berbahasa Inggeris, Jepun, Perancis dan Arab.

Namun, penguasaan bahasa Melayunya ketika itu agak lemah dan sekembalinya ke tanah air, beliau nekad menyambung pengajian dalam bidang kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Program pengajian itu dipilih bagi mengukuhkan penguasaan dan kemahiran komunikasinya dalam bahasa ibunda.

Walaupun berdepan kesukaran di peringkat awal, tetapi tidak menghalangnya daripada berjaya sehingga meraih Anugerah Pelajar Cemerlang Fakulti Komunikasi Massa ketika majlis konvokesyen.

“Saya menetap di luar negara ketika berusia setahun dan memasuki tadika di Jeddah, kemudian bersekolah rendah di London, manakala pendidikan menengah di Jepun sebelum melanjutkan pengajian diploma di Paris.

“Peluang itu membolehkan saya mempelajari bahasa tempatan, di samping mendalami budaya dan tradisi masyarakat di setiap negara yang didiami,” katanya.

Setiap kali ke luar negara sama ada atas urusan kerja mahupun percutian, destinasi wajib yang akan dikunjunginya ialah muzium.

Aktif riadah

Bagi memastikan dirinya kekal cergas, wanita tinggi lampai ini aktif bermain tenis, pickleball dan bola keranjang.

Rutin riadah itu sering dilakukan bersama ahli keluarga, sepupu dan teman karib.

“Selain bersukan, saya juga gemar berkaraoke bersama adik-beradik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN