Ringgit berpotensi cecah RM4 jika aliran FDI meningkat - Utusan Malaysia

Ringgit berpotensi cecah RM4 jika aliran FDI meningkat

ringgit
PADA pukul 8.04 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0705/0805 berbanding dolar AS daripada 4.0780/0830 ketika ditutup Khamis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit berpotensi menguji paras psikologi RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekiranya aliran masuk pelaburan asing terus meningkat, dolar AS terus lemah dan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dikekalkan.

Pada pukul 8.04 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0705/0805 berbanding dolar AS daripada 4.0780/0830 ketika ditutup Khamis.

Ringgit kemudian mengukuh kepada 4.0670/0730 sedolar AS pada akhir dagangan semalam.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, paras tersebut masih dianggap mencabar dalam jangka pendek kerana ia banyak bergantung kepada perkembangan ekonomi global yang sukar diramalkan.

Beliau menjangkakan tempatan kekal kukuh dalam lingkungan RM4.15 hingga RM4.25 dalam masa terdekat.

“Pengukuhan ringgit ketika ini merupakan petunjuk positif terhadap keyakinan pelabur, namun untuk mencapai paras RM4.00 berbanding dolar AS memerlukan gabungan faktor global dan domestik yang konsisten.

“Hala tuju ringgit akan banyak dipengaruhi oleh dasar kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS, aliran masuk modal asing ke pasaran Asia serta kestabilan politik domestik yang menjadi penentu kepada keyakinan pelabur.

“Pengukuhan ringgit ketika ini adalah petanda positif, namun untuk mencapai paras RM4.00 bagi setiap dolar AS memerlukan kombinasi faktor global dan domestik yang berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, antara pemangkin utama yang menyokong pengukuhan ringgit ialah aliran masuk pelaburan asing, khususnya dalam projek pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sektor pembuatan bernilai tinggi.

“Selain itu, asas ekonomi Malaysia yang kukuh menerusi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi yang terkawal serta kadar pengangguran yang rendah turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.

“Disiplin fiskal yang terus dikekalkan kerajaan juga menjadi faktor penting dalam memperkukuh keyakinan pasaran terhadap ringgit,” katanya.

“Pada masa sama, penyusutan sederhana dolar AS susulan jangkaan pasaran bahawa Fed akan melonggarkan dasar monetarinya turut memberi ruang kepada mata wang serantau, termasuk ringgit, untuk terus mengukuh,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, peluang kadar pertukaran ringgit naik ke paras RM4.00 berbanding dolar AS dalam tempoh satu hingga dua bulan dianggarkan sekitar 35 peratus, bergantung kepada perkembangan ekonomi global dan sentimen pasaran kewangan.

Katanya, antara faktor yang boleh menyokong pengukuhan ringgit ialah sekiranya Fed AS mengekalkan kadar faedah dan memberi isyarat bahawa penurunan kadar faedah berkemungkinan berlaku pada 2026.

“Jika data ekonomi AS seperti Data Gaji Bukan Perladangan (NFP) dan Indeks Pembuatan ISM yang akan diumumkan minggu depan menunjukkan kelemahan, dolar AS dijangka terus menyusut, sekali gus meningkatkan peluang ringgit menghampiri paras RM4.00.

“Selain itu, harga minyak mentah Brent yang kekal stabil dalam lingkungan AS$65 (RM265.37) hingga AS$75 (RM306.20) setong dijangka memberi sokongan kepada kedudukan akaun semasa Malaysia serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ringgit.

“Prospek pengukuhan ringgit juga bergantung kepada keberkesanan langkah rangsangan ekonomi China.

“Pengukuhan nilai yuan susulan rangsangan tersebut lazimnya memberi kesan positif kepada ringgit memandangkan China merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN