PETALING JAYA: Pelakon, Linda Hashim enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan kononnya seorang artis lelaki yang dilihat berhibur di kelab malam ketika rumah tangga bergolak adalah suaminya yang juga pelakon, Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah.
Linda atau Norhazlinda Hashim, 40, yang kini sedang dalam proses perceraian bagaimanapun tidak menafikan atau mengesahkan mengenai khabar angin yang mula bertebaran sejak Jumaat lalu.
“Saya perasan juga sebenarnya mengenai dakwaan tersebut sebab ada yang berikan saya pautan artikel mengenai perkara itu. Tapi saya tak sempat baca apa yang ditulis atau semak komen sebab memandu selama lima jam.
“Cuma adakah artis itu dia (Beego), kena tanya dia. Jangan tanya saya,” katanya.
Linda ditemui Utusan Malaysia semasa majlis tayangan perdana filem Paraxnormal di pusat beli belah IOI Mall Damansara, semalam.
Tambah pelakon Waris itu, dia hanya mahu memberi fokus kepada diri sendiri dan enggan lagi ambil kisah tentang kehidupan Beego.
“Jadi berkenaan berita itu saya tak nak campur. Hidup dia adalah hidupnya. Saya pun sudah lupakan dan fokus dengan hidup saya.
“Cuma kalau hidup dia masih begitu, itu pilihan dia. Saya pun sudah tidak mahu masuk campur lagi.
“Kalau betul itu dia, kita doakan yang baik-baik untuknya sebab dia masih ada anak-anak. Kes yang di sini (cerai) pun belum selesai lagi. Kita selesaikan itu dulu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan terdapat video memaparkan seorang artis lelaki sedang asyik menari di sebuah kelab malam serta berhibur dengan rakan-rakannya termasuk wanita.
Menerusi ruangan komen, ada netizen mengaitkan Beego dengan video tersebut, susulan laporan berkenaan pergolakan rumah tangga mereka. -UTUSAN











