Belum ada permohonan jadikan Pengerang daerah baharu

Belum ada permohonan jadikan Pengerang daerah baharu

MOHD. Jafni Md. Shukor ditemui pemberita di Kulai, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Permohonan untuk menjadikan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi sebuah daerah yang baharu bukan mudah dan perlu melalui proses yang rumit.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, ini kerana struktur pentadbiran yang berbeza dan proses itu memakan masa yang panjang.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri belum membuat sebarang permohonan bagi memohon Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) menjadi sebuah daerah baharu.

“Bila melibatkan daerah ini, bukan perkara yang mudah. Pengerang merupakan PBT yang terletak di daerah Kota Tinggi, antara daerah terbesar dalam Johor.

“Mungkin ada keperluan, tapi daerah ini ada mempunyai struktur tersendiri, ia melibatkan penjawatan, title tanah yang berbeza, pemilikan aset yang berbeza dan pengurusannya, banyak perkara yang perlu diambil kira.

“Hendak tubuhkan daerah ini, perkara ini yang agak teknikal, mungkin mengambil masa beberapa tahun,” katanya ketika ditemui di sini.

Jun lalu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap supaya kerajaan negeri Johor mengkaji atau mempertimbangkan kawasannya diangkat sebagai sebuah daerah baharu di negeri ini.

Azalina dilaporkan berkata, pengiktirafan itu penting bagi memastikan kawasan berkenaan mendapat lebih banyak manfaat dan kemudahan awam, sesuai dengan statusnya kini yang berkembang pesat menjadi kompleks ekonomi bersepadu, khususnya dalam sektor minyak dan gas.

Kata Mohd. Jafni, struktur daerah baharu berbeza dengan PBT yang dinilai melalui pelbagai kriteria daripada Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya.

“Kriteria sesebuah PBT itu bergantung kepada jumlah penduduknya, berapa jumlah hasil yang diperoleh serta cukai yang dikutip PBT, ia mempunyai struktur dan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri.

“Yang lebih penting adalah peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, walaupun kita tubuh macam-macam, tetapi kalau peruntukan Pusat tak banyak turun ke Johor.. sebenarnya dana yang besar adalah dari Persekutuan, itu yang penting untuk selesaikan isu di Johor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN