KUALA LUMPUR: Perbicaraan peringkat bela diri kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang sepatutnya bermula hari ini telah ditangguhkan ke 2 September ini.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas dimaklumkan bahawa peguam bela utama, Datuk Seri K. Kumaraendran tidak sihat dan sedang menjalani rawatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang lagi peguam pasangan itu, Teh See Khoon.
“Datuk Kumaraendran tidak sihat kerana ada cecair dalam paru-paru beliau serta beliau masih dalam rawatan yang mempunyai kesan sampingan dalam tempoh ini. Saya mohon supaya penangguhan dibenarkan,” kata See Khoon.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata pihak pendakwaan membantah permohonan berkenaan dan bersedia untuk meneruskan perbicaraan bela diri pasangan suami isteri itu.
“Sekiranya keadaan kesihatan peguam Kumaraendran masih dalam keadaan sama iaitu tidak sihat, tertuduh pertama (Bung Moktar) boleh memberi keterangan pada 2 September nanti,” kata Chin How.
Pada 22 Mei lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakan pasangan itu terhadap keputusan panel terdahulu yang memerintah mereka membela diri.
Pada 18 November 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang berlainan memerintahkan Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pendakwaan memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 September 2023 yang membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette daripada kesemua pertuduhan itu.
Pada 2 September 2022, Hakim Rozina Ayob telah memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.
Dalam pada itu, Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN










