KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih wushu dihukum penjara 13 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, tiga tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman tersebut selepas mandapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah bagi kes tertuduh, Gjeblehim Bong Teck Fuu, 34.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun bermula tarikh hari ini dan empat sebatan.
Tertuduh diperintah untuk menjalani sesi kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama tiga tahun, selepas selesai menjalani hukuman pemenjaraan,” kata Tasnim.
Mahkamah turut menolak permohonan peguam bela, Tharamjit Singh yang mewakili Teck Fuu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan,Teck Fuu sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih telah melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 10 tahun dua bulan bagi tujuan seksual pada pukul 7.30 malam, 13 April 2022 di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.
Seksyen 14 (a) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 16 (1) berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd. Shariff memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh telah meninggalkan kesan trauma psikologi terhadap mangsa.
“Mangsa adalah kanak-kanak yang memerlukan perlindungan maksimum dan tindakan tertuduh ini telah mengeksploitasi kelemahan serta kepercayaan mangsa.
“Tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai jurulatih wushu mangsa, sepatutnya bertindak sebagai pelindung dan pembimbing.
“Sebaliknya, tertuduh menyalahgunakan kedudukan tersebut untuk kepuasan nafsunya. Mohon hukuman yang lebih berat supaya memberi amaran kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan seumpama ini,” katanya.
Tharamjit ketika mengemukakan rayuan memohon hukuman ringan diberikan terhadap anak guamnya atas alasan Teck Fuu perlu menjaga ibunya.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 22 April lepas, seramai tiga saksi pembelaan dan lapan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. – UTUSAN










