KUALA NERUS: Kekurangan bekalan ikan tamban sejak dua tahun lalu menghimpit para pengusaha keropok keping tradisional di Terengganu, hingga memaksa sebahagian mereka ‘berehat’ tanpa pengeluaran selama berminggu-minggu akibat ketiadaan bahan mentah.
Pengusaha keropok keping dari Kampung Mengabang Telung di sini, Salim Yusof, 52, berkata, situasi semakin meruncing tahun ini apabila bekalan ikan yang biasanya stabil menjelang hujung tahun kini menjadi semakin sukar untuk diperoleh, walaupun permintaan terhadap produk itu meningkat sempena musim cuti sekolah dan tengkujuh.
“Hampir sebulan kami tidak dapat menghasilkan keropok sebab tiada langsung bekalan ikan. Ikan tamban terutama jenis tamban sisik dan tamban beluru makin sukar hendak dapat. Kalau ada pun tidak cukup untuk menampung permintaan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Salim, keropok keping yang diusahakan keluarganya sejak lebih 16 tahun lalu bergantung sepenuhnya kepada bekalan ikan tamban segar dari nelayan tempatan.
“Kalau bekalan ikan banyak, kami pernah buat sampai 3,000 hingga 4,000 kilogram (kg) keropok sebulan. Tetapi sekarang hendak capai 1,000 kg pun susah,” ujarnya yang dibantu isteri, Adibah Ali, 42, dan anak, Zulqairnain Salim, 22.
Katanya, pengeluaran berkurangan turut menjejaskan pendapatan mereka kerana ramai pelanggan tetap termasuk pemborong dari luar negeri tidak dapat memenuhi tempahan mereka.
“Kami ada pelanggan tetap yang datang terus ke kedai dan pemborong dari Besut, Teluk Ketapang, Banggol Tuan Muda, selain luar negeri seperti Kelantan, Melaka dan Johor Bahru. Tetapi sekarang, kami hanya mampu bekalkan sekitar 100 hingga 200 kg,” katanya yang menggaji enam pekerja tetap dalam kalangan penduduk kampung.
Berhubung ketibaan musim tengkujuh, katanya, dia tidak perlu risau kerana mempunyai kemudahan oven pengering khas yang mampu mengeringkan sehingga 80 kg keropok dalam satu pusingan, namun tanpa bahan mentah teknologi itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kami sudah labur untuk beli oven supaya pengeluaran lebih konsisten terutama masa musim hujan. Tapi kalau tiada ikan, oven pun tak guna,” katanya.
Walaupun berdepan dengan kekurangan bekalan ikan, Salim masih mengekalkan harga keropok keping pada kadar mampu milik, iaitu RM12 bagi setiap 500 gram, demi menjaga pelanggan tetap dan menyokong kesinambungan warisan makanan tradisional Terengganu.
“Ramai pelanggan setia yang datang dari jauh. Ada yang balik kampung, ada yang datang bercuti. Kami cuba kekalkan harga walaupun kos naik, sebab tidak hendak orang rasa terbeban,” katanya. – UTUSAN










