Bedah siasat ditentukan tertakluk undang-undang, bukan waris - G57 - Utusan Malaysia

Bedah siasat ditentukan tertakluk undang-undang, bukan waris – G57

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa ketiadaan bedah siasat ke atas jasad Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, disebabkan keengganan ibunya adalah tidak tepat, tegas Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan bedah siasat tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan keputusan pihak berkuasa, tanpa mengambil kira persetujuan waris.

Menurutnya, Seksyen 329 dan 330 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada Majistret atau polis untuk mengarahkan bedah siasat walaupun waris tidak bersetuju.

“Bedah siasat dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard polis bagi kes kematian mengejut, mencurigakan atau puncanya tidak diketahui. 

“Ia bertujuan menentukan punca sebenar kematian, sama ada akibat penyakit, kemalangan, bunuh diri, pembunuhan atau faktor lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zara Qairina, 13, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk di media sosial apabila ia didakwa dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah itu.

Semalam, akhbar ini melaporkan, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina, mengakui tidak dapat berfikir secara waras ketika diminta membuat keputusan sama ada mahu membenarkan proses bedah siasat ke atas jenazah anaknya dijalankan atau tidak.

Noraidah Lamat, 45, berkata, keadaan panik dan kekalutan selepas kematian anaknya menyebabkan beliau tidak me­mahami sepenuhnya pro­ses tersebut, malah tidak menerima penerangan jelas daripada mana-mana pihak.

Zulkarnain turut menegur penggunaan perkataan ‘terjun’ dalam sidang akhbar berhubung kes ini wajar diteliti kerana boleh menimbulkan tafsiran awal sebelum siasatan selesai.

“Adalah penting supaya kenyataan awam berhubung punca kematian dibuat berdasarkan dapatan siasatan rasmi bagi menjaga ketelusan dan integriti proses,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang menganjurkan majlis bacaan tahlil dan doa di seluruh negeri itu pada Khamis malam sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarhamah.

“Saya menyeru seluruh rakyat untuk terus menunjukkan solidariti dan berdiri bersama demi menuntut keadilan untuk adik Zara sehingga kebenaran yang sebenar dapat ditegakkan.

“Justeru, semua pihak disarankan memberi ruang sepenuhnya kepada panel inkues untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus demi memastikan kebenaran dapat diketahui dan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN