JOHOR BAHRU : Kegiatan e-hailing haram oleh pemandu warga Singapura yang mengenakan bayaran tinggi untuk membawa penumpang dari republik itu dan warganegara asing masuk ke Malaysia akhirnya terbongkar apabila empat kenderaan pelbagai guna (MPV) disita dalam Ops Khas E-Hailing Kenderaan Asing sejak Sabtu lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, empat lelaki Singapura berusia 30-an hingga 40-an itu menawarkan perkhidmatan awam tanpa lesen sah menggunakan laluan Singapura atas alasan melancong.
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit tiada lesen pengendali sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan tidak mempunyai cukai jalan.
“Mereka menggunakan media sosial termasuk WhatsApp dan Telegram untuk mencari pelanggan, dengan hotspot pengambilan dikenal pasti.
“Caj yang dikenakan sangat tinggi – SGD180 (RM630) bagi setiap penumpang ke JB Sentral, SGD200 (RM700) ke Legoland, dan SGD1,200 (RM4,200) untuk perjalanan pelancongan ke Ipoh,” katanya pada sidang media di JPJ Johor, malam tadi.
Empat kenderaan MPV yang disita ialah Toyota Alphard, Vellfire, Honda Spada dan Toyota Hiace.
Aedy Fadly berkata, kegiatan ‘sewa-upah’ haram ini dikesan sejak beberapa tahun lalu namun tiada tindakan penguatkuasaan diambil sebaliknya hanya memberi advokasi dan penerangan sahaja.
Katanya, kali ini JPJ tidak akan berkompromi lagi dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka daripada berterusan mengambil kesempatan melakukan pelanggaran undang-undang negara.
“Ini adalah operasi pertama yang kita adakan dan bermula minggu ini kita akan terus membuat penguatkuasaan di beberapa lokasi tumpuan di negeri ini sehingga ke Muar. Selepas ini, kita akan perluaskan operasi ke negeri-negeri lain.
“Tindakan penahanan dan penyitaan kenderaan akan dilaksanakan mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan disiasat mengikut Seksyen 16(1) Akta yang sama kerana mengadakan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali yang sah di Malaysia,” katanya.
JPJ juga akan melaksanakan siasatan terperinci bagi mengenal pasti dan membanteras pihak tidak bertanggungjawab dan akan mengambil tindakan tegas termasuk proses lucut hak kenderaan.
“Sebenarnya, kita tidak mahu insiden buruk berlaku, terutamanya jika berlaku kemalangan yang melibatkan pelancong asing.
“Perkara seperti ini bukan sahaja membahayakan nyawa penumpang dan pemandu, malah boleh menjejaskan hubungan antara dua negara,” katanya.










