KUALA TERENGGANU: Usia bukan penghalang kepada peserta Kursus Asas Pasukan Atur Cepat (APAC) untuk menamatkan latihan itu selama sebulan.
Sarjan Nurul Hidayah Mohd. Nor, 41, dari Kompeni Perubatan Para Kem Terendak, Melaka yang sudah 18 tahun berkhidmat menjadikan bapanya, Mohd. Nor Salleh, 69, dan suami yang juga komando sebagai inspirasi serta semangat untuk mengharungi cabaran sepanjang latihan.
Katanya, minat mendalam terhadap dunia ketenteraan menjadikan dirinya kental dan bertekad melalui semua fasa latihan.
“Semua fasa latihan menguji ketahanan fizikal dan mental terutama cabaran Jalan Laju 40 kilometer (km) dan mendayung 40km. Saya anggap ini sebagai cabaran dan ingat pesanan keluarga yang sentiasa memberi sokongan.
“Semangat bapa yang merupakan bekas komando menjadi dorongan kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kursus APAC Siri 2/2025 di Dataran Drawbridge di sini, semalam.
Bagi Pegawai Waran 1, Norikma Abdul Wahid, 40, pula, pengalaman sepanjang latihan memang tidak dapat dilupakan yang dalam cabaran Jalan Laju sejauh 40km, dia mengalami kecederaan kaki namun tetapi meneruskannya hingga tamat.
“Saya menahan sakit apabila kulit kaki koyak dalam tempoh cabaran Jalan Laju dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang pada waktu malam.
“Malah ketika cabaran ikhtiar hidup, kami tiada bekalan makanan sepanjang tiga hari dan terpaksa mencari apa sahaja yang boleh dijadikan alas perut. Alhamdulillah kami dapat ikan yang ditangkap di sungai dan katak,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Sementara itu, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, Pasukan Aturgerak Cepat adalah antara komponen utama dalam mekanisme kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang memerlukan anggota yang benar-benar kompeten dan berdaya tahan.
“Saya bangga dengan pencapaian semua pelatih yang menamatkan latihan dengan penuh cabaran ini. Malah saya kagum dengan penglibatan anggota wanita yang bersemangat malah berjaya mengharungi semua fasa latihan,” katanya. – UTUSAN










