PETALING JAYA: Seramai 11 orang warganegara asing diberikan Notis Penolakan Masuk (NPM) ke negara ini daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kuarantin, Kastam dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.
Tindakan penguatkuasaan ini diambil selepas kesemua individu tersebut didapati telah melakukan pelbagai kesalahan dan gagal mematuhi syarat kemasukan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, kesemua individu yang ditolak masuk ini terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita merupakan warga Bangladesh, Thailand, India dan Sri Lanka.
“Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa, kesemua warganegara asing tersebut telah diarahkan untuk berpatah balik ke negara asal mereka melalui pintu masuk yang sama dengan serta-merta,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, cubaan 26 orang warganegara Bangladesh yang tiba awal pagi semalam menerusi dua penerbangan dari Dhaka untuk memasuki Malaysia berjaya dipatahkan AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1).
Berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh lebih awal, kumpulan itu menggunakan dua buah penerbangan dan laluan kemasukan mereka dipercayai telah disusun atur secara terancang dengan bantuan pihak tertentu.
“Setibanya di pintu ketibaan antarabangsa KLIA1,kesemua mereka dipintas oleh Pasukan Pemantau AKPS sebaik sahaja keluar dari pesawat dan terus diiring ke Pejabat Operasi AKPS KLIA1 untuk proses semakan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati mereka tidak memenuhi syarat untuk memasuki Malaysia dan cuba memasuki negara ini menggunakan alasan yang meragukan,” katanya.
Katanya, tindakan tegas ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan AKPS untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan sempadan negara daripada sebarang bentuk ancaman.
“AKPS akan terus memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan hanya pelawat asing yang tulen dan memenuhi syarat sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN










