Ahmad Samsuri terbuka bertemu penganjur RXZ Members

Ahmad Samsuri terbuka bertemu penganjur RXZ Members

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Secara Penswastaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu terbuka dan tiada halangan bertemu dengan penganjur Himpunan RXZ Members bagi membincangkan isu-isuberbangkit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri tidak pernah bermusuhan dengan mana-mana pihak, sebaliknya menyokong penganjuran pelbagai program termasuk yang melibatkan anak muda di negeri ini.

“Kalau penganjur mahu bertemu, tidak ada masalah. Kita sentiasa terbuka dan kerajaan negeri tidak bergaduh dengan sesiapa pun,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Secara Penswastaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial berhubung isu kerajaan negeri tidak dijemput ke program itu, Ahmad Samsuri berkata, ia bertujuan mengelakkan salah faham atau persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Saya memuat naik kenyataan tersebut kerana tidak mahu timbul persepsi kenapa Menteri Besar tidak hadir. Jadi, saya jelaskan awal-awal supaya orang tahu sebab sebenar. Tidak timbul isu bergaduh atau tidak sehaluan. Saya cuma jelaskan supaya tidak menimbulkan fitnah. Itu sahaja,” katanya,

Terdahulu, Pengarah Program RXZ Members 7.0, Mohd Lukhman Hassan mengakui kekhilafan penganjur dan mahu mengadakan pertemuan dengan kepimpinan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu kekeliruan mengenai jemputan rasmi yang didakwa tidak diberikan sepanjang acara berlangsung.

Sebelum itu, Ahmad Samsuri dalam satu kenyataan mendakwa kerajaan negeri tidak dibenarkan menyertai program RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Gong Badak, di sini, hujung minggu lalu.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri konsisten memberikan sokongan dalam bentuk sumbangan kewangan kepada penganjuran program RXZ Members sejak beliau mengambil alih tampuk kepemimpinan.

Menurutnya, peruntukan itu diberikan setiap tahun dengan jumlah berbeza mengikut keperluan semasa bagi memastikan acara permotoran terbesar tanah air itu dapat dianjurkan dengan lancar.

“Setiap tahun memang ada peruntukan kerajaan negeri untuk RXZ Members cuma jumlahnya berbeza mengikut keadaan dan keperluan semasa. Ini antara bentuk kebersamaan kita dengan anak muda. Perincian mengenai jumlah itu saya tak mahu sebut di sini kerana bimbang orang kata buruk siku pula kita bercerita,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang halangan terhadap penganjuran Himpunan RXZ Members 8.0 di negeri ini pada tahun depan.

Beliau berkata, pihak kerajaan sentiasa menyokong aktiviti yang melibatkan anak muda khususnya dalam komuniti permotoran selagi ia memberi manfaat positif kepada masyarakat dan ekonomi tempatan.

“Tiada masalah untuk Himpunan RXZ diteruskan di Terengganu. Acara ini juga telah menjadi ikon kepada negeri kita kerana saban tahun ribuan peminat RXZ hadir dari seluruh negara,” katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, penganjuran RXZ Members sejak beberapa tahun kebelakangan ini terbukti memberi impak besar kepada ekonomi setempat termasuk sektor pelancongan, inap desa, hotel serta perusahaan kecil dan sederhana.

Ujarnya, limpahan ekonomi yang dijana melalui kehadiran puluhan ribu peserta memberi peluang perniagaan bukan sahaja kepada peniaga kecil malah juga kepada pengusaha inap desa, hotel serta pusat beli-belah.

“Ini antara bentuk kebersamaan kita dengan anak muda. Kerajaan negeri sentiasa konsisten untuk menyokong agar penganjuran berjalan lancar,” ujarnya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN